AM

LELAKI DIKHUATIRI LEMAS KETIKA CARI ETOK DI SUNGAI PAHANG

19/09/2025 10:42 PM

KUANTAN, 19 Sept (Bernama) -- Seorang lelaki dikhuatiri lemas semasa mencari etok bersama keluarganya di Sungai Pahang, berdekatan Kampung Bukit Kenau, Pekan di sini petang tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Peramu Wan Samsul Effendi Wan Mahmud berkata mangsa Mohd Zainuren Abd Rashid, 45, dipercayai dihanyutkan arus dalam kejadian kira-kira 6 petang ketika mencari etok bersama empat ahli keluarganya.

“Pihak bomba telah bertindak membuat pencarian pada 7.13 malam tadi di sekitar kawasan kejadian di bahagian permukaan air, namun tidak menjumpai mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Wan Samsul berkata ketika kejadian, ahli keluarga mangsa telah melihat Mohd Zainuren berada jauh daripada mereka dan dihanyutkan arus deras. 

“Mereka juga berusaha untuk mencari (mangsa) di sekitar kawasan sungai, tetapi tidak menjumpainya,” katanya. 

Beliau berkata operasi mencari dan menyelamat mangsa ditangguhkan pada 7.30 malam dan  bersambung esok.

-- BERNAMA 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan