BUTTERWORTH, 20 Sept (Bernama) -- Kementerian Pengangkutan (MOT) sedang merangka pelaksanaan projek pembinaan tambahan landasan kereta api dalam kawasan Pelabuhan Pulau Pinang di sini, bagi meningkatkan kecekapan operasi logistik serta mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan sekitar.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata projek itu melibatkan pemanjangan landasan sedia ada daripada 500 meter (m) kepada 1,010 m bagi memastikan keseluruhan gerabak kereta api dapat dimuatkan dalam kawasan pelabuhan tanpa mengganggu jalan raya di situ.
"Ini sedang dirangka untuk kita lihat pentingnya objektif hendak laksanakan projek tersebut secepat mungkin, pertama bagi meningkatkan efisien dalam pelabuhan sebab kalau semua landasan itu dalam kawasan pelabuhan boleh buat pemunggahan kontena dengan lebih efisien.
"Kedua, gerabak tersebut tidak akan mengganggu lalu lintas di luar kerana ketika ini landasan tidak cukup panjang, landasan sedia ada hanya mampu memuatkan kira-kira 30 daripada 50 gerabak manakala baki 20 gerabak terpaksa berada di luar kawasan mengakibatkan gangguan lalu lintas apabila proses pemunggahan di pelabuhan dijalankan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Program Professional Advancement in Trucking and Haulage (PATH) yang dibangunkan oleh Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menerusi Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) dengan kerjasama MOT yang turut dihadiri Menteri Sumber Manusia Steven Sim.
Loke berkata pendekatan konvensional yang memerlukan permohonan bajet dan pelaksanaan tender mungkin mengambil masa yang lama, justeru MOT memilih kaedah usaha sama strategik bagi melaksanakan projek tersebut dalam kadar segera dan lebih kos efektif.
Beliau berkata pihaknya juga sedang berbincang dengan operator pelabuhan, termasuk MMC Ports dan Pelabuhan Pulau Pinang untuk berkongsi kos pelaksanaan dengan sebahagian kos mungkin ditanggung oleh operator serta sebahagian lagi oleh MOT.
Beliau turut menjelaskan bahawa Perbadanan Aset Keretapi (RAC) juga akan memainkan peranan dalam penyediaan bahan dan aset sedia ada seperti landasan terpakai dan slippers yang boleh digunakan semula, sekali gus menjimatkan kos pembinaan.
Sementara itu, Loke berkata program PATH dilaksanakan khusus untuk meningkatkan kapasiti pemandu pengangkut atau haulier di seluruh negara termasuk di Pelabuhan Pulau Pinang, selain merupakan inisiatif berimpak tinggi yang merangkumi latihan berstruktur serta pensijilan profesional selaras dengan usaha memperkukuh sektor logistik dan pengangkutan negara.
Beliau memaklumkan kerajaan memperuntukan RM2.5 juta untuk program tersebut yang memberi manfaat kepada lebih 1,000 peserta di seluruh negara dan bagi Pelabuhan Pulau Pinang, sebanyak 200 peserta akan mengikuti latihan intensif yang meliputi Lesen E, GDL E Bersendi serta modul keselamatan dan etika kerja.
Beliau berkata program itu antara lain bagi mengatasi masalah kekurangan pemandu haulier dan meningkatkan kecekapan operasi pelabuhan melalui pemandu lori yang lebih kompeten, seterusnya melancarkan proses penghantaran kargo serta mewujudkan peluang pekerjaan dan pendapatan baharu, khususnya kepada belia dan tenaga kerja tempatan dalam sektor logistik yang pesat membangun.
"Pemandu di pelabuhan dibenarkan memandu trak dalam kawasan terkawal tanpa lesen E, jadi mereka tidak boleh keluar ke jalan raya umum dan kekangan utama mereka untuk mendapatkan lesen ini adalah kos yang tinggi," katanya.
-- BERNAMA