GEORGE TOWN, 19 Sept (Bernama) -- Pulau Pinang merekodkan pelaburan dalam sektor pembuatan dari China yang diluluskan bernilai RM1.85 bilion untuk separuh pertama tahun ini, kata Ketua Menteri Chow Kon Yeow.
Beliau berkata jumlah itu merangkumi hampir 15 peratus daripada keseluruhan pelaburan untuk sektor pembuatan negeri bernilai RM12.54 bilion dalam tempoh itu, dengan 12 projek dari China dijangka mewujudkan kira-kira 1,532 peluang pekerjaan baharu.
“Momentum yang kukuh ini menunjukkan keyakinan pelabur yang semakin meningkat terhadap ekosistem perindustrian Pulau Pinang, dengan kira-kira 65 syarikat dari China sudah beroperasi di negeri ini.
"Pada 2024, China merupakan rakan dagangan kedua terbesar Pulau Pinang, menyumbang 15.6 peratus daripada jumlah eksport negeri,” kata Chow berucap di majlis resepsi meraikan Ulang Tahun Ke-76 Penubuhan Republik Rakyat China, di sini hari ini.
Beliau berkata satu pencapaian penting tahun ini ialah majlis pecah tanah kilang pertama INV New Material Technology (M) Sdn Bhd di Malaysia yang terletak di Taman Teknologi Pulau Pinang di Bertam.
Dengan pelaburan bernilai RM6.4 bilion, ia akan meningkatkan ekosistem kenderaan elektrik (EV) Malaysia dengan ketara serta mewujudkan ratusan pekerjaan berkemahiran tinggi, kata Chow.
Beliau juga berkata ketibaan pelancong China melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang telah melonjak lebih 200 peratus, daripada 37,000 pada 2023 kepada kira-kira 120,000 pada 2024.
Selain itu, kerjasama pendidikan seperti Biasiswa Kerajaan China dan program sekolah angkat, termasuk pertukaran Wuxi–Pulau Pinang dengan SJK (C) Pai Teik telah memperluas pembelajaran bahasa dan memupuk pemahaman budaya, katanya.
Awal tahun ini, Chow telah mengetuai delegasi Pulau Pinang ke Shandong, yang mana memorandum persefahaman telah dimeterai untuk mengukuhkan hubungan kerajaan dengan kerajaan dan pertukaran rakyat dengan rakyat.
Delegasi itu juga berinteraksi dengan perusahaan China dalam bidang tenaga hijau, jentera pembinaan dan logistik, sekali gus mengukuhkan hubungan negeri angkat Pulau Pinang dan membuka peluang kepada kerjasama berimpak tinggi.
Sementara itu, Pemangku Konsul Jeneral China di Pulau Pinang Ding Qiao berkata penyertaan delegasi Pulau Pinang dalam “Minggu Kerjasama dan Pertukaran Bandar Persahabatan Antarabangsa Shandong 2025” mencetuskan gelombang baharu pertukaran tempatan antara China dan Malaysia.
“Kerjasama ekonomi dan perdagangan antara empat negeri di utara Malaysia dan China terus bertambah erat.
“Pelancaran penerbangan terus dari Chengdu ke Pulau Pinang juga memudahkan pertukaran antara rakyat kedua-dua tempat itu,” katanya.
-- BERNAMA