AM

PAHANG REKOD 9,452 PENAGIH DADAH SETAKAT 30 JUN TAHUN INI

20/09/2025 08:09 PM

JENGKA, 20 Sept (Bernama) -- Masalah penagihan dadah di Pahang berada pada tahap membimbangkan apabila sebanyak 9,452 penyalah guna dan penagih direkodkan setakat 30 Jun 2025, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata angka itu bersamaan dengan kadar 765 penagih bagi setiap 100,000 penduduk di negeri ini.

“Angka ini memberikan gambaran jelas bahawa masalah dadah bukanlah isu kecil, sebaliknya satu ancaman serius yang menguji kestabilan sosial dan ekonomi negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutup Jelajah Pahang Teguh Dadah Terkawal (PTDT) bersempena dengan Sambutan Peringatan Hari Antidadah peringkat negeri, yang disempurnakan oleh Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Dewan Balora Mastika, di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Saifuddin Nasution berkata sebanyak 1,917 klien turut menerima rawatan dan pemulihan di 47 Pusat Pemulihan Persendirian (PPP) di seluruh negara. 

Selain itu, beliau berkata berkata golongan paling terjejas ialah individu berumur antara 15 hingga 35 tahun, khususnya mereka yang bekerja dalam sektor tidak mahir.

“Keadaan ini bukan sahaja menjejaskan potensi ekonomi mereka, malah memberikan kesan negatif kepada produktiviti negara. Lebih membimbangkan, dadah sintetik seperti methamphetamine dan ketamin kekal menjadi pilihan utama penagih dan penyebarannya semakin meluas,” katanya.

-- BERNAMA 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan