KOTA BHARU, 20 Sept (Bernama) -- Pembukaan beberapa tapak untuk peminat motorhome dan karavan di Kelantan menjadi antara tarikan terbaharu yang menyumbang kepada pertumbuhan sektor pelancongan negeri termasuk pada musim cuti sekolah.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Kelantan Datuk Kamaruddin Md Nor berkata kerajaan negeri melalui pihak berkuasa tempatan menyediakan lokasi strategik sebagai kawasan letak kenderaan rekreasi itu, lengkap dengan kemudahan asas seperti bekalan air, elektrik dan tandas untuk keselesaan pengunjung.
"Antara tapak utama adalah di Gunung Reng di Jeli, Jeram Mengaji (Pasir Puteh) dan sepanjang Pantai Kemasin (Bachok) yang mampu menampung ratusan motorhome pada satu-satu masa.
"Gunung Reng sahaja boleh memuatkan hingga 80 motorhome, Jeram Mengaji sebanyak 120 buah manakala Pantai Kemasin berkapasiti lebih 300 buah kenderaan rekreasi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan semula Pasar Pelancongan Pengkalan Datu, Pengkalan Chepa, di sini hari ini.
Fenomena motorhome di Kelantan semakin mendapat perhatian selepas pesta rakyat di Gunung Ring baru-baru ini yang menarik penyertaan 47 motorhome yang berkampung di situ, walaupun sebahagian besar pengunjung pada asalnya hanya berhenti di situ kerana kemudahan yang terdapat di tapak berkenaan.
Kamarudin berkata Persatuan Motorhome Malaysia yang mempunyai lebih 1,200 ahli berdaftar di seluruh negara kini aktif menyertai aktiviti konvoi atau percutian berkumpulan, termasuk ke Kelantan yang mempunyai keunikan budaya dan keindahan alam semula jadi tersendiri.
Selain itu, pelbagai tarikan lain turut menyumbang kepada peningkatan aliran keluar masuk pelancong ke negeri ini antaranya budaya tradisional Kelantan yang kaya, yang dipamerkan dalam acara rasmi, program swasta dan aktiviti komuniti.
“Sekarang sudah menjadi trend untuk memakai pakaian tradisional dalam pelbagai acara, contohnya ramai penganjur memilih untuk mengetengahkan identiti Kelantan melalui pakaian dan makanan tradisional, sekali gus memberikan nilai tambah kepada produk pelancongan negeri," katanya.
Kamarudin berkata faktor perkahwinan rentas negeri antara rakyat Kelantan dengan pasangan dari negeri lain juga mendorong lebih ramai orang ke negeri ini bukan sahaja untuk menghadiri majlis perkahwinan, tetapi juga mengambil peluang bercuti bersama-sama keluarga.
Mengenai pembukaan semula Pasar Pelancongan Pengkalan Datu, beliau berkata lokasi itu menjadi tarikan tambahan kepada pengunjung di sekitar lembangan sungai, selain paparan warisan sejarah dan seni budaya seperti dikir barat, seni silat, wau, gasing, rebana dan makyung.
-- BERNAMA