PUTRAJAYA, 18 Sept (Bernama) -- Malaysia merekodkan 73.8 juta pelawat domestik pada suku kedua 2025 meningkat 7.8 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas, menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini.
Laporan berdasarkan Survei Pelancongan Domestik Malaysia (DTS) pada suku kedua 2025 dan tahunan 2024 mengikut negeri itu turut menunjukkan bilangan pelawat domestik meningkat sebanyak 5.8 peratus berbanding suku pertama 2025.
Sementara itu, bilangan pelancong domestik pada suku kedua 2025 mencatatkan sebanyak 27.4 juta, meningkat 4.2 peratus berbanding suku pertama 2024.
“Sejajar dengan itu, perbelanjaan pelancongan domestik berjumlah RM29.2 bilion pada suku kedua 2025, mencerminkan pertumbuhan sederhana sebanyak 3.8 peratus tahun ke tahun.
“Bagaimanapun, ia merekodkan sedikit penurunan sebanyak 0.6 peratus secara suku tahunan,” menurut kenyataan itu.
Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata dari segi prestasi pelancongan domestik mengikut negeri pada 2024, Selangor merekodkan bilangan pelawat domestik tertinggi, iaitu 34.5 juta, diikuti oleh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (27.0 juta) dan Perak (21.8 juta).
“Perak turut mencatatkan ketibaan pelancong tertinggi, meningkat sebanyak 36.1 peratus kepada 10.2 juta pelawat berbanding 7.5 juta pada tahun sebelumnya,” katanya sambil menambah ia selari dengan pertumbuhan positif bagi ketibaan pelawat domestik, semua negeri mencatatkan peningkatan dalam terimaan pelancongan.
Selangor merekodkan terimaan pelancongan domestik tertinggi pada 2024, iaitu sebanyak RM14.2 bilion dengan peningkatan 28.1 peratus berbanding RM11.1 bilion pada 2023, diikuti oleh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang berada pada kedudukan kedua dengan RM14.1 bilion, berbanding RM11.0 bilion pada tahun sebelumnya.
Pahang dan Sabah turut mencatatkan pertumbuhan kukuh, masing-masing meningkat kepada RM8.7 bilion (2023: RM6.7 bilion) dan RM8.6 bilion (2023: RM6.7 bilion).
“Membeli-belah kekal sebagai penyumbang utama kepada terimaan pelancongan, dengan terimaan sebanyak RM39.9 bilion. Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mendahului dengan RM6.8 bilion, diikuti Selangor (RM6.1 bilion) dan Sarawak (RM3.2 bilion).
“Perbelanjaan makanan dan minuman merupakan penyumbang kedua tertinggi mencatatkan RM17.3 bilion. Selangor merekodkan terimaan tertinggi, iaitu RM2.2 bilion, diikuti oleh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (RM2.1 bilion) dan Perak (RM1.5 bilion),” menurut kenyataan itu.
Mohd Uzir berkata peningkatan terimaan pelancongan di semua negeri mencerminkan permintaan berterusan terhadap barangan dan perkhidmatan berkaitan pelancongan, khususnya dalam aktiviti membeli-belah serta makanan dan minuman
-- BERNAMA