KUALA LUMPUR, 22 Sept (Bernama) -- Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) kini dalam usaha memperkenalkan sistem pemantauan kepadatan tren secara langsung bagi membolehkan penumpang mengetahui kedudukan gerabak yang penuh atau kosong sebelum tren tiba di platform.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Nor Azmi Mohd Yusof berkata langkah itu bertepatan dalam usaha menangani isu kesesakan, selain meningkatkan pengalaman pengguna menggunakan perkhidmatan rel di Lembah Klang yang kini mencatat lebih sejuta penumpang harian.
“Rapid Rail sedang mewujudkan sistem yang membolehkan data dipantau secara langsung dengan memaparkan kepadatan tren mengikut gerabak.
“Jadi, pengguna akan tahu tren yang akan datang ini, gerabak mana yang penuh, gerabak mana yang lebih kosong. Pengguna akan lebih selesa kerana sudah tahu di kawasan pintu mana yang harus dia beratur,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu dalam temu bual Jendela Fikir bertajuk "Meningkatkan Penggunaan Pengangkutan Awam" di Bernama Radio hari ini.
Dalam aspek keselamatan pula, Nor Azmi berkata Rapid Rail sedang menaik taraf sistem kamera litar tertutup (CCTV) sedia ada kepada sistem CCTV berasaskan kecerdasan buatan (AI) di semua fasiliti mereka.
Beliau berkata sistem CCTV yang lebih canggih itu bukan sahaja dapat membantu proses pemantauan keselamatan secara menyeluruh, malah turut berupaya mengesan tingkah laku mencurigakan, jantina penumpang di dalam gerabak wanita serta objek berbahaya seperti senjata.
“Kita sedang menaik taraf sistem CCTV kepada CCTV AI dan dengan data-data CCTV ini akan dapat membantu mengenal pasti kemungkinan jantina yang ada di dalam gerabak dan kita mungkin dapat kesan sebarang perilaku yang mendatangkan syak,” katanya.
Beliau berkata penambahbaikan itu sejajar dengan komitmen Rapid Rail untuk terus mengutamakan keselamatan dan keselesaan pengguna, khususnya wanita yang mewakili kira-kira 60 peratus daripada keseluruhan penumpang harian.
Malah, katanya Rapid Rail juga telah memperkenalkan coach wanita khas di laluan MRT Kajang, MRT Putrajaya serta laluan Ampang dan Sri Petaling sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh keselamatan golongan wanita.
Menyentuh tentang kemungkinan kenaikan harga tambang dalam masa terdekat, Nor Azmi berkata perkara itu bukan di bawah bidang kuasa Rapid Rail dan penetapan harga memerlukan persetujuan daripada Kementerian Pengangkutan.
“Jika perubahan kepada tambang ini berlaku, ia mungkin hasil rundingan dengan pihak Kementerian Pengangkutan. Bagaimanapun, setakat ini masih lagi tidak ada apa-apa arahan kepada pihak kementerian atau Prasarana, jadi jangan risau tambang masih kekal. Insya-Allah,” katanya.
-- BERNAMA