SUKAN

LTDL25: MISI SERAMPANG DUA MATA SKUAD BERBASIKAL LEBUH RAYA KEBANGSAAN

22/09/2025 03:59 PM

KUALA LUMPUR, 22 Sept (Bernama) -- Skuad berbasikal lebuh raya kebangsaan mempunyai misi serampang dua mata pada perlumbaan berprestij Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025, yang akan bermula dari 28 Sept sehingga 5 Okt ini.

Ketua jurulatih pasukan Mohd Yusof Abdul Nasir berkata skuad negara realistik dalam menentukan sasaran dengan fokus utama iaitu mencipta keputusan terbaik di pentas Asia, selain cuba menempatkan pelumba dalam kelompok utama pada peringkat tertentu.

Mohd Yusof berkata kejayaan pelumba terdahulu seperti Anuar Manan dan Harrif Salleh, membuktikan peluang untuk meraih kemenangan peringkat tetap ada dan kali ini tumpuan diberikan kepada pelumba muda Kee Zhe Yie yang dilihat berpotensi menyerlah di laluan mendaki ke Fraser’s Hill.

“Setiap kali sertai LTdL kita kena realistik. Pada saya tahap Asia, satu sasaran yang mampu dicapai. Dalam sukan berbasikal apa-apa boleh berlaku, sebelum ini kita ada Anuar Manan dan Harrif Salleh menang peringkat, jadi tidak mustahil dengan kemampuan Zhe Yie di laluan Fraser’s Hill kita boleh lakukan sesuatu.

“Kita akan cuba yang terbaik merealisasikan sasaran itu. Semua yang datang ke LTdL hebat-hebat, jadi strategi, kepakaran serta naluri pelumba ketika mendaki dan melakukan pecutan penamat sangat penting,” katanya pada sidang media Pengumuman Skuad Lebuh Raya Kebangsaan ke LTdL 2025 di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil di sini, hari ini.

Mohd Yusof berkata beberapa pelumba negara sudah dikenal pasti untuk menggalas cabaran di laluan berbeza termasuk laluan rata, mendaki dan peringkat mencabar di penghujung perlumbaan.

Beliau berkata selain Peringkat Kelima perlumbaan dari Temerloh ke Fraser’s Hill sejauh 123.1 kilometer (km), Peringkat Ketiga dari Gerik ke Pasir Puteh sejauh 198.2km dan peringkat terakhir dari Tangkak ke Kuala Lumpur sejauh 180.2km yang turut mencabar, juga bakal menjadi tumpuan.

“Selalunya pelumba dari luar negara akan mula pulih daripada gangguan ritma harian menjelang peringkat keempat atau kelima, tetapi kami akan cuba berikan yang terbaik daripada peringkat awal sehingga ke akhir.

“Kami bukan pasukan terbesar, fokus akan diberikan secara spesifik pada peringkat tertentu. Perlumbaan di Gerik dan Fraser’s Hill amat penting untuk menentukan posisi pasukan Asia, peringkat terakhir juga sangat berat. Ketiga-tiga peringkat ini kita kena pastikan pelumba berada di depan,” katanya.

Terdahulu, skuad lebuh raya kebangsaan mengumumkan senarai pelumba terdiri daripada Muhammad Elmi Jumari, Muhammad Ameer Ahmad Kamal, Zhe Yie, Muhammad Iqmal Mohd Zarawi, Muhammad Yusri Shaari dan Mohd Shahrul Mat Amin.

Sebagai antara perlumbaan paling berprestij di Asia, LTdL25 yang berstatus 2.ProSeries dalam kalendar Jelajah Asia UCI, menarik penyertaan 22 pasukan dari seluruh dunia.

LTdL25 akan melewati semua 12 negeri di Semenanjung Malaysia, membabitkan jarak keseluruhan 1,224.2 kilometer, yang bermula di Pulau Langkawi pada 28 Sept dan berakhir di KLCC pada 5 Okt ini.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan