DUNIA

MALAYSIA, KOREA SELATAN AKAN TANDATANGANI MOU INDUSTRI PERTAHANAN PADA OKTOBER

22/09/2025 04:15 PM

KUALA LUMPUR, 22 Sept (Bernama) -- Korea Selatan dan Malaysia dijangka menandatangani memorandum persefahaman (MoU) mengenai kerjasama pertahanan pada Oktober ini, menandakan langkah penting ke arah memperdalam perkongsian strategik antara kedua-dua negara.

Duta Besar Korea Selatan ke Malaysia Yeo Seung-bae berkata perjanjian itu akan menjadikan Korea Selatan negara kedua yang menjalinkan perkongsian dalam bidang pertahanan dan industri pertahanan dengan Malaysia.

Beliau berkata Presiden Lee Jae-myung dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkongsi komitmen teguh untuk memperkukuh perkongsian strategik dua hala.

“Bermula dengan perbualan menerusi panggilan telefon bersama Perdana Menteri Anwar sejurus selepas mengambil alih jawatan, Presiden Lee telah menghantar utusan khasnya pada Julai - langkah yang belum pernah berlaku sebelum ini yang mengukuhkan kepercayaan antara Korea dan Malaysia.

“Langkah ini membuka jalan kepada pertemuan dua hala antara Perdana Menteri Anwar dan Presiden Lee pada Oktober, apabila MoU kerjasama pertahanan dijangka ditandatangani,” katanya pada Seminar Kerjasama Industri Pertahanan Malaysia–Korea Ketiga di sini Isnin.

Turut hadir ialah Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

MoU itu dijangka ditandatangani semasa pertemuan antara Lee dan Anwar di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di sini pada Oktober.

Sementara itu, Yeo menzahirkan keyakinan terhadap masa depan kerjasama industri pertahanan Korea Selatan–Malaysia, dengan menyatakan bahawa kedua-dua negara berdepan cabaran bersama seperti serangan siber, dron dan ancaman keselamatan maritim.

“Ancaman asimetri ini paling baik ditangani bersama dan kerjasama industri pertahanan termasuk kecerdasan buatan (AI) akan menjadi antara penyelesaian utama,” katanya.

Beliau menambah bahawa AI sedang muncul sebagai pengubah keadaan dalam sistem pertahanan moden, dengan Seoul bakal menggandakan belanjawan  penyelidikan dan pembangunan AI pertahanannya tahun depan, membuka pusat pertahanan AI khusus, serta menubuhkan jawatankuasa bagi memperkukuh tadbir urus dalam bidang itu.

Yeo berkata syarikat-syarikat pertahanan Korea juga bergerak pantas, dengan inisiatif seperti pembangunan pesawat pejuang generasi baharu, kapal permukaan tanpa pemandu, sistem tempur berasaskan AI dan keupayaan navigasi autonomi, dengan sebahagiannya sudah diterapkan dalam sistem yang dibangunkan bersama Malaysia.

“Syarikat-syarikat Korea komited untuk berkembang bersama rakan kongsi mereka di Malaysia. Keupayaan ini akan menyokong visi Dasar Industri Pertahanan Malaysia untuk membangunkan sektor pertahanan yang berdikari,” tambahnya.

Sementara itu, seminar berkenaan menarik kira-kira 150 peserta termasuk pegawai kerajaan, ahli akademik dan wakil industri pertahanan dari kedua-dua negara. Ia menampilkan pembentangan mengenai dasar AI serta perbincangan mengenai penggunaan AI dalam pertahanan dan potensi bidang kerjasama masa depan.

Lebih 20 syarikat pertahanan Malaysia bersama firma pertahanan utama Korea Selatan turut mengambil bahagian, menyediakan peluang pertukaran bermakna antara pihak kerajaan dan sektor swasta dari kedua-dua negara.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan