KUALA LUMPUR, 22 Sept (Bernama) -- Penganjuran Pantai Timur Fest 2025 di ibu negara pada 2 hingga 5 Okt ini, akan mengetengahkan keunikan cita rasa asli masakan Pahang, Kelantan dan Terengganu, selain budaya, seni, kraf serta aktiviti masyarakat tempatan.
Pengarah Kanan Bahagian Domestik dan Acara Tourism Malaysia Datin Rafidah Idris berkata festival yang berlangsung di pekarangan Hotel Seri Pacific itu, bertujuan mengangkat Pantai Timur sebagai destinasi pelancongan unggul, serta memperkukuh jaringan kerjasama dengan pihak industri dan media.
“Sememangnya negeri-negeri di Pantai Timur seperti Pahang, Kelantan dan Terengganu, menjadi tumpuan utama kepada tarikan ekopelancongan, budaya serta destinasi percutian keluarga,” katanya dalam ucapan mewakili Ketua Pengarah Tourism Malaysia, pada majlis prapelancaran festival itu di sini hari ini.
Rafidah berkata Pantai Timur Fest 2025 juga bertujuan sebagai prapromosi dalam membina momentum ke arah menjayakan Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026), sekali gus menonjolkan kesiapsiagaan Malaysia sebagai hab pelancongan yang dinamik.
Beliau berkata Tourism Malaysia melihat penganjuran festival berkenaan sebagai satu langkah penting, yang memberi limpahan manfaat kepada semua segmen pelancongan seperti ekopelancongan, pelancongan budaya dan gastronomi.
“Pada masa yang sama, ia turut memberi penekanan kepada aspek mesra alam dan budaya tempatan yang kini menjadi keutamaan pelancong global,” katanya dan menambah festival itu akan turut diserikan dengan persembahan artis tempatan.
Rafidah berkata Tourism Malaysia juga akan menganjurkan Global Meet 2025 iaitu persidangan pelancongan antarabangsa pada 1 hingga 3 Okt, di Pusat Dagangan Dunia (WTC) yang terletak bersebelahan lokasi festival.
Beliau berkata kehadiran ribuan peserta global akan menjadikan Pantai Timur Fest 2025 sebagai satu medan strategik berimpak tinggi, untuk memperkenalkan keindahan dan keunikan Pahang, Terengganu dan Kelantan terus kepada pasaran antarabangsa, selain mampu menjadi landasan penting bagi mempromosikan Malaysia sebagai destinasi wajib untuk dikunjungi.
-- BERNAMA