DUNIA

GGI TEKANKAN LAYANAN SAMA RATA KEPADA SEMUA NEGARA - PRESIDEN IRAN

22/09/2025 04:41 PM

BEIJING, 22 Sept (Bernama-CMG) -- Inisiatif Tadbir Urus Global (GGI) yang dikemukakan Presiden China Xi Jinping menekankan kepentingan untuk memperkasa interaksi antara kerajaan, di samping menyeru negara-negara di dunia supaya saling menghormati kedaulatan dan keutuhan wilayah.

Demikian dinyatakan Presiden Iran Masoud Pezeshkian dalam temu bual bersama wartawan Kumpulan Media China (CMG).

Menurut beliau, GGI juga menegaskan keperluan untuk memberikan layanan sama rata kepada semua negara tanpa mengira kaya atau miskin serta besar atau kecil.

"Kita perlu menghormati undang-undang dan peraturan antarabangsa selain memandang secara tepat isu layanan berbeza," katanya sambil menyelar masih terdapat dwistandard di dunia pada masa ini.

Pezeshkian berkata GGI menitikberatkan kedaulatan undang-undang antarabangsa dan menegaskan perlunya mematuhi peraturan.

Beliau berkata  pemimpin China menjunjung keamanan dan negara Tembok Besar itu memainkan peranan penting di arena antarabangsa.

"Maka China boleh memainkan peranan sewajarnya di Asia Barat dan memberi pengaruh yang lebih kuat dan luas bagi mencapai matlamat ditetapkan pelbagai organisasi termasuk Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO)," katanya.

–BERNAMA-CMG

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan