AM

BUKAN SEKADAR PELANCONGAN MESRA MUSLIM, ITM 2025 ANGKAT BUDAYA DAN USAHAWAN TEMPATAN

23/09/2025 11:30 AM

Oleh Nur Atiq Maisarah Suhaimi

KUALA LUMPUR, 23 Sept (Bernama) -- Di sebalik tarikan destinasi ikonik menara pencakar langit dan alam semulajadi yang sering menjadi tumpuan pelancong, Malaysia terus menonjolkan sisi unik pelancongan mesra Muslim dengan mengangkat nilai budaya serta perusahaan anak tempatan.

Sempena edisi keempat Bulan Pelancongan Islam (ITM), kempen oleh Islamic Tourism Centre (ITC) tahun ini memperkenalkan tujuh destinasi baharu yang bukan sahaja memikat hati pelancong Muslim, malah menampilkan kreativiti usahawan tempatan merentasi pelbagai latar bangsa.

Pengurus Unit Komunikasi Korporat ITC Anis Rozalina Ramli berkata inisiatif itu sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pilihan utama dalam segmen pelancongan mesra Muslim di peringkat antarabangsa.

"Harapan ITC untuk ITM ini ialah pelancong domestik dan antarabangsa dapat mengenali Malaysia serta produk pelancongan dan hospitaliti yang menawarkan pelbagai pengalaman berasaskan budaya, makanan tempatan dan spiritual, sesuai untuk seisi keluarga," katanya kepada Bernama.

Membuka tirai pelancongan berkonsepkan mesra Muslim ialah Perdana Kuala Lumpur City Centre (KLCC), hotel empat bintang yang mencatat sejarah sebagai hotel halal pertama di Malaysia sejak 2006 selain turut mendapat pengiktirafan Sistem Pengurusan-Keperluan (QMS) MS1900:2005 daripada Perspektif Islam.

Terletak di tengah kota, hotel ini menyediakan kemudahan lengkap untuk ibadah seperti sejadah, telekung, arah kiblat sahih, ruang wuduk hingga menu halal tanpa alkohol, malah lebih istimewa aspek kewangan hotel turut diaudit secara syariah dengan pelantikan seorang pengurus tadbir khas.

Bergerak ke destinasi seterusnya di Nilai, Negeri Sembilan pula berdiri megah Laman Khadijah iaitu galeri pameran telekung popular Siti Khadijah, yang bermula daripada perusahaan kecil seorang wanita tempatan dan berkembang menjadi jenama ikonik Malaysia sejak hampir 15 tahun lepas.

Berkeluasan 60,000 kaki persegi, selain galeri pameran laman tersebut turut menempatkan kilang, gudang, gerai jualan, kafe, surau dan pelbagai kemudahan lain yang bukan sahaja menjadi mercu tanda kebanggaan tempatan malah sebagai pusat warisan budaya, keindahan seni serta inovasi.

Di Sepang, Selangor, HL Dragon Fruit Eco Farm pula menampilkan lebih 10 produk dan 20 hidangan daripada buah naga termasuk sambal, pes kari, kerepek dan roti, selain restoran dan kafe berstatus halal.

Hasil cetusan idea semasa pandemik COVID-19 yang menyebabkan jualan buah naga merudum, kini ladang itu bukan sahaja menjadi lokasi agropelancongan malah menjadi bukti kerjasama tiga bangsa Melayu, Cina dan India dalam mengangkat hospitaliti Malaysia.

Pengunjung ke ladang itu turut disambut dengan struktur terbesar berbentuk buah naga yang diiktiraf Guinness World Records, menempatkan muzium sejarah awal Kota Sepang dan mampu menampung kira-kira 30 orang pelawat pada satu-satu masa. 

Bagi peminat coklat, destinasi seterusnya iaitu Ryverra Chocolate Story di Batu Caves pasti tidak boleh dilupakan apabila pengunjung disajikan dengan pameran interaktif dan demonstrasi pembuatan coklat keluaran perusahaan kecil dan sederhana (PKS), yang menawarkan harga berpatutan dengan kualiti premium.

Ryverra Chocolate Story juga adalah bukti kecemerlangan perusahaan tempatan yang kini menjadi payung ekonomi setempat, sekali gus mengubah taraf hidup masyarakat melalui empat produk utama berasaskan koko dan coklat iaitu Ryverra, Estana, Reevo dan Qidoz.

ITM 2025 turut mengetengahkan destinasi ikonik sedia ada seperti Masjid Negara yang menjadi antara mercu tanda ibu kota sejak dibina hampir enam dekad lepas dengan seni bina unik mempamerkan budaya kemelayuan dan Timur Tengah, selain menempatkan Makam Pahlawan.

Bagi yang mencari interaksi dengan alam di sebalik kesibukan kota, Farm in the City di Seri Kembangan, menawarkan pengalaman santai untuk seisi keluarga dengan lebih 150 spesies haiwan eksotik berserta persembahan haiwan terlatih dan ruang solat untuk keselesaan pengunjung beragama Islam.

Menutup senarai pilihan pelancongan mesra Muslim ialah Berjaya Times Square Indoor Theme Park di ibu negara iaitu taman tema terbesar dalam bangunan di Malaysia bagi mereka yang inginkan aktiviti menyeronokkan bersama keluarga.

Melalui gabungan pelbagai tarikan menarik, ITM 2025 membuktikan bahawa pelancongan mesra Muslim bukan hanya berkisar kepada ibadah semata-mata, sebaliknya merangkumi pengalaman menyeluruh daripada fesyen, makanan, alam sekitar, hiburan hinggalah kepada pendidikan.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan