AM

MALAYSIA KEDUA TERTINGGI ASEAN INDEKS NEGARA DIGITAL 2025

24/09/2025 01:02 AM

KUALA LUMPUR, 23 Sept (Bernama) -- Malaysia menduduki ranking kedua tertinggi dalam kalangan negara ASEAN bagi Indeks Negara Digital GSMA 2025, yang julung kali diadakan, meletakkannya sebagai antara peneraju serantau dalam kesediaan digital dengan Singapura pada kedudukan pertama.

Menurut laporan bertajuk 'Achieving the ASEAN Connectivity Strategic Plan' Malaysia meraih skor agregat melebihi 60 daripada 100 sekali gus meletakkan negara pada peringkat teratas negara maju digital di rantau ini bersama Filipina dan Thailand.

Indeks itu menilai kesediaan digital setiap negara anggota ASEAN merentas lima komponen utama iaitu infrastruktur, inovasi, tadbir urus data, keselamatan dan manusia.

"Prestasi terbaik Malaysia adalah menerusi komponen Rakyat yang meraih markah dalam julat tertinggi 76-100, mencerminkan usaha berterusan negara untuk meluaskan akses kepada perkhidmatan digital dan meningkatkan kecekapan digital tenaga kerjanya," menurut laporan itu.

Bagaimanapun, laporan itu turut mengenal pasti bidang untuk penambahbaikan iaitu Malaysia hanya mendapat markah sederhana dalam Infrastruktur, Inovasi dan Keselamatan yang kesemuanya dalam lingkungan 25-49.

Laporan GSMA juga memuji beberapa inisiatif strategik utama Malaysia untuk mempercepat transformasi digitalnya antaranya pelancaran Rangka Kerja Negara AI pada Ogos 2025 iaitu strategi nasional yang direka untuk memastikan kecerdasan buatan (AI) memberi manfaat kepada setiap rakyat.

Bagi ruang Inovasi, laporan itu menekankan pelancaran Ryt Bank, perkhidmatan perbankan pertama dikuasakan AI sepenuhnya di Malaysia. Perkhidmatan itu menggunakan model bahasa besar tempatan bernama ILMU untuk memproses perbualan semula jadi dalam Bahasa Malaysia, Inggeris dan Manglish, menjadikan perkhidmatan perbankan lebih intuitif dan mudah diakses.

Dari segi infrastruktur, laporan itu menyatakan pelaburan besar dalam ekonomi digital Malaysia. Laporan itu memetik pendedahan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) pada Julai 2025 bahawa jumlah pelaburan meningkat lebih dua kali ganda kepada RM29.47 bilion (AS$7 bilion) pada suku kedua tahun itu, sebahagian besarnya didorong oleh segmen pusat data dan pengkomputeran awan.

Laporan itu juga mengiktiraf kemajuan Malaysia dalam mengukuhkan rangka kerja perundangan dan kawal selianya menerusi penggubalan Akta Keselamatan Siber 2024 dan pengeluaran Garis Panduan baharu mengenai Pemindahan Data Peribadi Merentas Sempadan pada April 2025.

Secara keseluruhan, laporan GSMA merumuskan bahawa merealisasikan rancangan pembangunan ASEAN memerlukan usaha bersepadu untuk meningkatkan kesediaan digital, menyeru negara anggota untuk merapatkan jurang infrastruktur, mempercepat penyelarasan dasar serantau dan memanfaatkan kerjasama antarabangsa.

-- BERNAMA

 

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan