KUALA LUMPUR, Sept 23 (Bernama) -- Pelaksanaan penyasaran subsidi petrol RON95 menerusi inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) buat warga polis dan tentera bermula Sabtu ini, disambut baik anggota pasukan keselamatan yang menyifatkannya sebagai suntikan semangat untuk berkhidmat dengan tekun dan berintegriti.
Pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) ASP S. Vishvamalar berkata langkah itu mencerminkan keprihatinan kerajaan kepada rakyat, khususnya anggota pasukan keselamatan yang menjaga keselamatan negara.
"Inisiatif ini menjadi inspirasi kepada kami dalam perkhidmatan awam untuk terus berkhidmat dengan penuh dedikasi dan integriti demi pembangunan negara,” katanya kepada Bernama hari ini.
Senada dengan Vishvamalar, Insp Nik Mohamad Afif Al-Aziz Mohamad Yusof yang berpendapat langkah itu menyuntik semangat dalam kalangan penjawat awam untuk terus berkhidmat dengan tekun, berintegriti dan berjiwa rakyat.
Anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Lans Koperal Mike Miekenzie Justien Latep pula berkata harga petrol RON95 yang dikurangkan kepada RM1.99 seliter amat membantu dalam menguruskan perbelanjaan harian.
“Ini menambah penjimatan dengan kos minyak boleh disalurkan untuk belanja rumah yang lain sekali gus meringankan beban keluarga,” katanya.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan harga petrol RON95 dikurangkan kepada RM1.99 seliter berbanding RM2.05 seliter melalui penyasaran subsidi di bawah program BUDI95.
Sistem BUDI95 dibuka awal kepada 300,000 anggota tentera dan polis pada 27 Sept, manakala bagi penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) pada 28 Sept diikuti 30 Sept bagi 16 juta rakyat Malaysia berumur 16 tahun dan ke atas yang memiliki MyKad serta lesen memandu aktif.
-- BERNAMA