Oleh Samantha Tan Chiew Tieng
PUTRAJAYA, 24 Sept (Bernama) -- Pelan Komunikasi Antidadah 2025-2027, yang bakal dilancarkan tahun hadapan akan menjadi strategi baharu negara dalam usaha menangani ancaman dadah yang semakin meruncing, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata pelaksanaan komunikasi itu bukan sahaja mampu memperluas capaian tetapi berupaya meningkatkan keberkesanan pencegahan melalui mesej yang lebih tepat, dekat dengan realiti masyarakat dan membina kesedaran kolektif terhadap tanggungjawab bersama membanteras dadah.
Menurut Ahmad Zahid, fokus utama pelan itu mengambil kira faktor umur, jenis dadah dan geografi bagi memastikan pendekatan yang digunakan benar-benar berfokus serta relevan dengan kumpulan sasar.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Membanteras Dadah Kebangsaan berkata pendekatan itu akan diterjemahkan melalui mesej yang berbeza mengikut keperluan generasi muda, golongan dewasa, komuniti setempat serta kawasan berisiko tinggi.
“Pelan ini akan bertindak sebagai pemangkin perubahan sikap dan norma sosial melalui penglibatan pelbagai pihak agar mesej antidadah dapat disampaikan dengan konsisten, menyentuh emosi dan memberi kesan jangka panjang,” katanya kepada Bernama pada sesi temu bual baru-baru ini.
Beliau berkata keberkesanan pelan itu akan dinilai menerusi beberapa indikator utama iaitu peningkatan amalan kesihatan fizikal dan mental serta tahap kesedaran masyarakat tentang kepentingan daya tindak menolak dadah, kewujudan komuniti yang sihat dan prihatin yang saling menyokong serta sentimen positif terhadap inisiatif kerajaan dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di media sosial.
“Kesemua indikator ini akan diukur secara sistematik melalui soal selidik, analisis sentimen serta analitik media sosial bagi memastikan impaknya dapat dinilai secara menyeluruh,” katanya.
Pada Mei lepas, mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Membanteras Gejala Dadah telah meluluskan Pelan Komunikasi Antidadah sebagai usaha kempen antidadah secara holistik berkaitan isu dadah dalam negara memandangkan trend penyalahgunaan dadah dan cabaran memeranginya yang semakin kompleks.
Ahmad Zahid turut menegaskan isu dadah bukan sekadar melibatkan isu penguatkuasaan semata-mata sebaliknya turut merangkumi aspek pembangunan insan, keselamatan komuniti dan kesejahteraan negara.
“Justeru, usaha kerajaan pada masa ini adalah tertumpu kepada memperkukuhkan peranan institusi keluarga, pendidikan dan komuniti dalam aktiviti pencegahan dan kesedaran awam berkaitan penyalahgunaan dadah,” katanya.
Selain daripada itu, beliau berkata Pindaan Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 yang diluluskan pada Oktober 2024 membuktikan komitmen berterusan kerajaan dalam menambah baik strategi dan pendekatan bagi menangani isu penagihan dan penyalahgunaan dadah di Malaysia.
Ahmad Zahid berkata AADK diperuntukkan RM1.3 juta setiap tahun bagi melaksanakan kajian terhadap keberkesanan dasar, perkhidmatan dan pendekatan yang diambil oleh kerajaan dalam pengurusan isu-isu dadah di Malaysia.
Jumlah penyalah guna dan penagih dadah di Malaysia direkodkan sebanyak 145,526 orang pada 2023 sebelum meningkat kepada 192,857 orang pada 2024.
Berdasarkan populasi penduduk sebanyak 34.06 juta orang, kadar penagih pada 2024 ialah 566 bagi setiap 100,000 penduduk berbanding 436 orang pada 2023.
Namun, statistik bagi 2025 setakat Jun menunjukkan jumlah penagih menurun kepada 134,916 orang dengan kadar 396 penagih bagi setiap 100,000 penduduk.
-- BERNAMA