AM

MISI GSF: KERAJAAN SEDIA GERAK USAHA DIPLOMATIK, NYAWA 34 RAKYAT MALAYSIA DIUTAMAKAN - AHMAD ZAHID

25/09/2025 06:50 PM

SEPANG, 25 Sept (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan komitmen kerajaan untuk memastikan keselamatan 34 rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza, selain lebih 500 peserta antarabangsa lain yang kini berdepan situasi getir di wilayah bergolak itu.

Beliau berkata memandangkan Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel, kerajaan bersedia menggerakkan saluran diplomatik menerusi negara sahabat berdekatan bagi menjamin keselamatan semua peserta misi GSF.

"Kita akan meminta pertolongan daripada negara-negara sahabat untuk membantu sedaya mungkin, bukan sahaja 34 rakyat Malaysia yang berada di sana, tetapi juga seluruh 500 ahli rombongan flotila supaya tindakan segera dapat dilakukan untuk menyelamatkan mereka," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat Sumud Nusantara Command Center (SNCC) di Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) Central Warehouse, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif MAPIM Datuk Dr Ahmad Sani Araby.

Ahmad Zahid berkata beliau akan turut menghubungi Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan yang kini berada di New York bagi menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA), bagi membincangkan langkah diplomatik yang boleh diambil segera.

Selain itu, beliau berkata perbincangan akan diadakan dengan Menteri Pertahanan Datuk Seri Khaled Nordin mengenai kaedah terbaik untuk melibatkan kementerian itu dalam usaha bantuan dan pemulangan peserta misi ke tanah air.

"Tadi saya berbincang, bagaimana jika misi ini telah selesai untuk membawa 34 rakyat ini pulang ke negara. Kita akan perincikan jenis dan bentuk bantuan yang akan kita berikan nanti," katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid menegaskan bahawa keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia sentiasa menjadi keutamaan kerajaan dan segala usaha akan digerakkan bagi memastikan mereka kembali dengan selamat.

Beliau turut mengucapkan penghargaan kepada 34 individu yang disifatkan sebagai wira dan wirawati kerana berani menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza meskipun berdepan pelbagai cabaran dan ancaman.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, mereka telah berlayar jauh menempuh risiko termasuk serangan bom dan dron serta menyeru seluruh rakyat Malaysia bersama-sama mendoakan kejayaan misi itu yang kini berada di zon kuning dan dijangka memasuki zon merah dalam masa terdekat.

Ahmad Zahid berkata misi yang melibatkan 45 negara itu membuktikan semakin banyak negara yang bersama Palestin, termasuk yang sebelum ini menyokong Israel tetapi kini berubah haluan seperti United Kingdom.

Sebelum itu Ahmad Zahid mengadakan telesidang bersama 34 rakyat Malaysia yang kini dalam pelayaran di perairan antarabangsa berhampiran Greece.

Kumpulan rakyat Malaysia itu merupakan sebahagian daripada aktivis dari 44 negara yang kini semakin menghampiri Gaza dan cekal berdepan pelbagai rintangan dan ugutan termasuk serangan dron.

"Misi ini bukan soal agama tetapi soal kemanusiaan sejagat. Gaza berdepan kebuluran dan penindasan dan wira serta wirawati kita mewakili Malaysia telah menunjukkan keberanian luar biasa," katanya.

Ahmad Zahid menyifatkan serangan udara Israel terhadap pelarian di Gaza sebagai cubaan menakut-nakutkan konvoi kemanusiaan GSF.

Beliau berkata keadaan di Gaza semakin kritikal apabila hampir tiga perempat wilayah itu telah musnah akibat pengeboman menyebabkan rakyat Palestin seolah-olah menjadi pelarian di negara sendiri.

Media melaporkan sumber Kesatuan Eropah (EU) menunjukkan ancaman yang semakin meningkat oleh Israel ketika GSF belayar ke perairan antarabangsa.

Pelayaran GSF merentasi Laut Mediterranean membawa makanan, ubat-ubatan dan mesej keamanan dijadualkan tiba di perairan Gaza pada akhir bulan ini.

-- BERNAMA 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan