CYBERJAYA, 24 Sept (Bernama) - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mengesahkan siasatan aset Tun Dr Mahathir Mohamad diperluaskan ke Switzerland, selepas siasatan di United Kingdom (UK).
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata pihaknya kini bekerjasama dengan pihak berkuasa kedua-dua negara berkenaan bagi mendapatkan maklumat lanjut.
“Kita juga melihat kepada negara lain seperti Switzerland. (Setakat ini) kami masih berkolaborasi dengan pihak berkuasa di UK antaranya International Anti-Corruption Coordination Centre (IACCC), yang sedang membantu sekiranya ada aset dikenal pasti, namun masih tiada perkembangan baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Integrity and Leadership Day 2025 di Multimedia University, di sini hari ini.
IACCC merupakan unit di bawah Agensi Jenayah Kebangsaan (NCA) yang berpusat di London dan berperanan menyelaras maklumat antarabangsa berkaitan siasatan rasuah.
Pada April 2024, Azam dilaporkan berkata Dr Mahathir antara individu yang disiasat berhubung isu pengisytiharan harta.
Susulan itu, dua anak beliau diberi notis untuk mengisytiharkan harta di bawah Seksyen 36 Akta SPRM 2009 dalam tempoh yang ditetapkan.
Pada 21 Jan lalu, dilaporkan bahawa Tan Sri Mokhzani Mahathir memiliki aset bernilai kira-kira RM1 bilion, manakala Mirzan Mahathir sebanyak RM246.2 juta berdasarkan pengisytiharan harta kepada SPRM.
Sementara itu, mengenai siasatan kes sindiket counter setting, Azam berkata proses melengkapkan kertas siasatan sedang dijalankan namun tiada tangkapan baharu setakat ini.
“Saya arahkan pegawai percepatkan siasatan dalam tempoh tiga minggu dari sekarang. Sekiranya ada perkembangan sama ada dituduh atau tidak, saya akan maklumkan kemudian,” katanya.
Pada 10 Sept lepas, SPRM menahan 27 individu termasuk 18 pegawai agensi penguat kuasa kerana disyaki terbabit dalam sindiket itu yang melepaskan warga asing masuk ke negara ini tanpa mengikut prosedur ditetapkan.
Menurut sumber, kesemua suspek terdiri daripada 19 lelaki dan lapan wanita berusia 20 hingga 50 tahun, ditahan dalam operasi di sekitar Selangor, Melaka, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.
-- BERNAMA