EKONOMI

HUBUNGAN DAGANG MALAYSIA-SUMATERA UTARA MELEBIHI US$1 BILION PADA 2024

24/09/2025 07:18 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 24 Sept (Bernama) -- Nilai dagangan Malaysia dengan Sumatera Utara melebihi US$1 bilion (US$1=RM4.19) pada 2024, menjadikan Malaysia sebagai pelabur ASEAN kedua terbesar di wilayah itu, kata Konsul Jeneral Malaysia di Medan Shahril Nizam Abdul Malek.

Beliau berkata pada tahun sama, Indonesia merupakan rakan dagang ASEAN kedua terbesar dan rakan dagang global ketujuh terbesar bagi Malaysia.

“Jumlah perdagangan dua hala pada 2024 bernilai US$25.5 bilion (RM116.29 bilion), meningkat 4.5 peratus berbanding US$24.39 bilion (RM111.21 bilion) pada 2023,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam bersempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025 di Medan, pada Selasa.

Majlis itu dihadiri lebih 300 tetamu termasuk pegawai pemerintah dari Provinsi Sumatera Utara, Sumatera Selatan, Sumatera Barat dan Aceh, selain kor diplomatik serta tokoh dalam bidang perniagaan, perbankan, kesihatan dan pelancongan.

Shahril Nizam berkata Malaysia berbangga memegang jawatan Pengerusi ASEAN 2025 dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan”.

“Malaysia selaku pengerusi ASEAN telah menggembleng usaha menyumbang kepada keamanan dan keselamatan rantau ini melalui kerjasama lebih erat dengan negara-negara anggota,” katanya menerusi kenyataan konsulat.

Sementara itu, Penolong Pemerintahan dan Kesejahteraan Rakyat Basarin Yunus Tanjung menyifatkan peranan Konsul Jeneral sebagai jambatan persahabatan Malaysia-Sumatera yang memperkukuh hubungan dalam perdagangan, pendidikan, budaya dan masyarakat.

“Konsulat Jeneral menjadi simbol komitmen Malaysia dalam membina hubungan erat, saling menghormati dan berpanjangan dengan Sumatera,” katanya.

Medan ialah ibu kota wilayah Sumatera Utara dan bandar ketiga terbesar di Indonesia selepas Jakarta, dan Surabaya di Jawa Timur.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan