AM

NADI PERKASA USAHAWAN LUAR BANDAR, TINGKAT KEMAHIRAN DAN PENDAPATAN

25/09/2025 11:33 AM

KAMPAR, 25 Sept (Bernama) -- Pusat Sebaran Maklumat Nasional (Pusat NADI) berperanan sebagai pemangkin transformasi digital dengan memperkasa komuniti luar bandar melalui program latihan percuma yang komprehensif, terutama dalam bidang keusahawanan dan kemahiran digital.

Pengurus sebuah inap desa di sini, Rosmawati Mohd Amin, 47, berkata ini terbukti apabila perniagaannya kini bagai mendapat nafas baharu selepas beliau berpeluang menyertai program latihan NADI Mahir berkaitan bidang fotografi dan pertanian.

Beliau berkata program Mahir Foto dan Mahir Pertanian Pintar yang disertai di Pusat NADI Tualang Sekah, di Malim Nawar di sini, selama enam bulan sejak Julai lepas, mendedahkannya dengan pelbagai ilmu baharu dalam kedua-dua bidang tersebut yang sangat berguna.

“Sebelum ini gambar yang saya ambil untuk mempromosi inap desa hanya biasa sahaja tidak begitu menarik tetapi selepas menyertai latihan fotografi ini saya semakin tahu mengenai teknik pencahayaan, kreativiti dan pemilihan sudut yang menarik untuk menghasilkan gambar.

"Kini gambar inap desa yang saya muat naik di media sosial bagi tujuan promosi lebih menarik dan mendapat maklum balas yang positif daripada pelanggan. Tempahan yang diterima juga semakin meningkat kerana rata-rata pelanggan suka dengan suasana sekitar inap desa yang saya," katanya ketika ditemui Bernama.

Rosmawati berkata latihan berkaitan pertanian pula membuka peluang untuk beliau menceburi bidang agropelancongan dengan menanam herba dan sayuran segar di sekitar kawasan inap desa sebagai nilai tambah.

Beliau berkata program latihan yang dijalankan secara dalam talian melalui platform Zoom dua kali seminggu itu dibimbing oleh tenaga pengajar berpengalaman, dengan hanya dua hingga tiga peserta setiap sesi bagi memastikan setiap individu mendapat perhatian secukupnya.

“Selain itu, peserta juga dibekalkan modul bercetak untuk memudahkan proses ulang kaji. Latihan yang dijalankan di Pusat NADI ini sangat berguna dan tidak membebankan peserta. Apa yang paling penting, saya mendapat ilmu yang boleh terus dipraktikkan bagi menambah baik perniagaan inap desa yang diusahakan," katanya.

Seorang lagi peserta, Wahida Zainal Abidin, 48, yang merupakan seorang guru berkata penglibatan dalam program NADI telah memperkukuh kemahiran digitalnya yang semakin penting dalam profesion pendidikan.

"Sekarang ini tugas sebagai guru mahupun kerjaya lain memerlukan kita menguasai kemahiran digital. Dengan latihan yang diterima daripada pusat ini, saya dapati ia banyak membantu kerja saya dalam menyediakan bahan-bahan untuk pembelajaran. 

"Ini adalah inisiatif saya sendiri di samping menguasai kemahiran lain," katanya yang mengakui usia bukan penghalang untuk beliau mendalami ilmu pengdigital. 

Wahida yang turut aktif dalam program Mahir Jahit bercita-cita untuk mengembangkan kemahiran tersebut sebagai sumber pendapatan sampingan pada masa hadapan.

Pusat NADI tidak sekadar menyediakan akses Internet tetapi berperanan sebagai hab pembangunan komuniti melalui lima teras Perkhidmatan Pintar yang merangkumi Keusahawanan, Pembelajaran Sepanjang Hayat, Kesejahteraan Kendiri, Kesedaran, dan Inisiatif Kerajaan.

Inisiatif Perkhidmatan Pintar itu bertujuan memastikan setiap program yang dijalankan mampu memenuhi keperluan komuniti dengan lebih mendalam sekali gus memberikan impak yang besar dalam memperbaiki kualiti hidup dan memacu kemajuan masyarakat secara menyeluruh.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan