JENAYAH & MAHKAMAH

POLIS RAMPAS ROKOK TIDAK BERCUKAI LEBIH RM200,000, TAHAN TIGA LELAKI

25/09/2025 02:29 PM

JOHOR BAHRU, 25 Sept (Bernama) -- Polis merampas rokok tidak bercukai dianggarkan bernilai RM225,600 selepas menahan tiga lelaki tempatan dalam satu serbuan berhampiran Sungai Sanglang, Jalan Tebing Kiri, Ayer Baloi, Pontian, pagi semalam.

Ketua Polis Johor Datuk Ab Rahaman Arsad berkata serbuan pada kira-kira 4 pagi beserta penahanan tiga lelaki berusia 19 hingga 69 tahun itu, hasil risikan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 2 di sebuah jeti tidak diwartakan yang dipercayai digunakan bagi tujuan penyeludupan.

“Hasil pemeriksaan di lokasi menemukan sejumlah bungkusan berwarna hitam di tepi jeti tersebut. Pemeriksaan susulan kemudian menemukan beberapa lagi bungkusan hitam dan lut sinar yang mengandungi rokok tidak berkastam dalam sebuah kereta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata rampasan melibatkan 940 karton rokok pelbagai jenis, sebuah bot fiber dan sebuah bot enjin sangkut jenis Yamaha 85 kuasa kuda dengan nilai keseluruhan rampasan RM285,600.

Ab Rahaman berkata kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana melindungi, menyimpan, menyembunyikan atau memiliki barang tidak berkastam atau barang larangan.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan