KUALA LUMPUR, 26 Sept (Bernama) -- Kerajaan akan memainkan peranan sebagai pengawal selia dalam pembangunan tapak pelancar satelit pertama Malaysia yang dicadangkan, yang akan dilaksanakan sektor swasta, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang.
Beliau berkata Malaysia memiliki beberapa kelebihan untuk menyokong inisiatif itu termasuk kedudukan geografinya yang strategik berhampiran khatulistiwa, yang berpotensi mengurangkan penggunaan bahan api roket dengan ketara berbanding tapak pelancaran yang lebih jauh dari garisan itu.
“Pada masa ini, kebanyakan kemudahan pelancaran terletak jauh dari garisan khatulistiwa. Yang paling hampir ialah di French Guiana. Sekiranya kemudahan pelancaran dibina berhampiran garisan itu, keperluan bahan api roket dapat dikurangkan, sekali gus menjimatkan kos dengan ketara.
“Hal ini merupakan satu daripada kelebihan kita (Malaysia), walaupun kita perlu bersaing dengan negara lain khususnya di rantau ASEAN," katanya kepada pemberita selepas mengadakan sesi dialog bersama Kelab Concorde di Wisma Bernama di sini hari ini.
Sesi berkenaan yang dipengerusikan oleh Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Wong Chun Wai menumpukan kepada isu-isu berkaitan “Memperkasakan Malaysia, Tanjung Malim dan PKR”. Kelab Concorde ialah sebuah kumpulan tidak rasmi yang dianggotai editor kanan daripada organisasi media tempatan dan antarabangsa.
Chang berkata asas kukuh Malaysia dalam industri elektrik dan elektronik (E&E) serta semikonduktor, di samping risiko bencana alam yang agak rendah turut menjadikan negara ini sesuai sebagai hab pelancaran satelit.
“Kita ada formula yang tepat untuk pembangunan tapak pelancar satelit, namun saya ingin tegaskan sekali lagi bahawa ini adalah inisiatif swasta dan kerajaan hanya akan berperanan sebagai pengawal selia,” katanya.
Enggan mendedahkan pihak-pihak yang terlibat, beliau berkata dua syarikat asing bersama-sama sebuah kerajaan negeri telah menyatakan hasrat serta mengemukakan kajian kebolehlaksanaan.
Ditanya sama ada Sabah atau Pahang lebih berpotensi menjadi lokasi kemudahan itu, Chang berkata kajian sedang dijalankan dan pelbagai faktor akan dipertimbangkan.
“Ia bukan sekadar mengenai kesesuaian lokasi, tetapi juga mengambil kira aspek lain seperti keadaan angin dan cuaca. Sebagai contoh, sekiranya cuaca sentiasa cerah, itu satu kelebihan. Perairan antarabangsa dan wilayah negara lain juga perlu diambil kira,” katanya.
Sebelum ini, Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) dilaporkan memaklumkan Malaysia bakal menjadi negara pertama di Asia Tenggara yang memiliki tapak pelancar roket sendiri menjelang 2029.
Projek terbabit yang sejajar dengan Dasar Angkasa Negara 2030 berpotensi menyumbang lebih RM10 bilion kepada Keluaran Dalam Kasar Negara (KDNK) sekiranya Malaysia menjadi peneraju industri angkasa di rantau ini.
Dalam perkembangan lain, Chang yang juga Ahli Parlimen Tanjong Malim memaklumkan bandar berkenaan dijangka mengalami pembangunan pesat susulan pelaburan besar dalam sektor automotif.
Beliau berkata Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) dengan Geely sebagai penyewa utama dan KLK TechPark yang bakal menempatkan BYD sebagai penyewa utama dijangka menarik seluruh rantaian nilai teknologi automotif generasi akan datang dan pembekalnya ke kawasan itu.
“Selain itu, Proton sedang memindahkan kilangnya di Shah Alam ke Tanjong Malim, yang akan membawa masuk kira-kira 6,000 pekerja baharu.
“Hal ini akan menyumbang kepada peningkatan populasi yang ketara yang memerlukan infrastruktur sokongan seperti perumahan, kemudahan awam dan perkhidmatan, di samping memberi manfaat kepada perniagaan tempatan termasuk premis makanan dan minuman. Justeru, saya melihat prospek yang sangat baik di kawasan (pilihan raya) saya sendiri, Tanjong Malim,” katanya.
-- BERNAMA