AM

PENYEDIA PLATFORM MEDIA SOSIAL DISARAN LAKSANA PROSES EKYC GUNA DOKUMEN RASMI KERAJAAN

25/09/2025 03:28 PM

PUTRAJAYA, 25 Sept (Bernama) -- Semua penyedia platform media sosial yang beroperasi di Malaysia disaran untuk melaksanakan pengesahan elektronik Know-Your-Customer (eKYC) menggunakan dokumen rasmi dikeluarkan kerajaan seperti MyKad, passport atau MyDigital ID.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata pelaksanaan sistem identiti elektronik itu memastikan identiti pengguna disahkan sepenuhnya bagi mengurangkan penipuan dalam talian dan dapat menghalang kanak-kanak berusia bawah 13 tahun daripada membuka akaun media sosial sendiri.

“Setakat ini, kita sarankan tetapi apabila Akta Keselamatan Dalam Talian (OnSA) mula berkuat kuasa hujung tahun ini atau awal tahun depan, ia akan menjadi kewajipan.

"Kita dapati platform-platform seperti Facebook, Instagram, WhatsApp, Telegram, TikTok dan sebagainya tidak mempunyai sistem eKYC yang benar-benar berkemampuan, jadi kita telah minta supaya mereka melaksanakan proses eKYC dengan menggunakan dokumen-dokumen rasmi yang dikeluarkan oleh kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi di sini hari ini yang turut dihadiri Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching, Ketua Setiausaha kementerian berkenaan Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa dan Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin.

Fahmi juga berkata kerajaan tegas dalam memastikan rakyat Malaysia dilindungi daripada jenayah dalam talian seperti penipuan pelaburan tidak wujud, judi dan penjualan barang larangan.

Sementara itu, Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia akan menyelaras satu pertemuan bersama Polis Diraja Malaysia, Jabatan Peguam Negara, Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional serta Kementerian Kewangan dengan pihak Meta dan TikTok di Singapura dalam tempoh dua minggu.

Antara isu yang akan dibangkitkan ialah penjualan barang larangan seperti cecair vape mengandungi dadah dalam platform Meta seperti Facebook dan pengesahan eKYC menggunakan dokumen rasmi kerajaan.

   -- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan