AM

FAHMI SANTUNI 219 AHLI KOMUNITI MADANI, WARGA KEMENTERIAN MANGSA BENCANA DI SABAH 

26/09/2025 01:58 PM

KOTA KINABALU, 26 Sept (Bernama) -- Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil hari ini meluangkan masa menyantuni dan menyampaikan bantuan kewangan kepada 219 ahli Komuniti MADANI dan warga Kementerian Komunikasi di Sabah, bagi meringankan beban mereka susulan bencana alam baru-baru ini.

Daripada jumlah itu, 160 orang adalah ahli Komuniti MADANI di daerah Penampang, Beaufort, Kota Kinabalu, Papar dan Tuaran, 56 orang warga jabatan serta agensi di bawah Kementerian Komunikasi manakala tiga daripada Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI).

Bercakap kepada pemberita selepas majlis itu yang diadakan di sini, Fahmi berkata bantuan wang tunai kepada mangsa bertujuan meringankan beban mereka dan tanda keprihatinan kerajaan terhadap rakyat. 

"Program ini juga merupakan sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial Kementerian Komunikasi serta langkah segera membantu mangsa terlibat, selari dengan prinsip kesejahteraan dan ihsan dalam Malaysia MADANI," katanya.

Hujan berterusan minggu lepas telah menyebabkan banjir dan tanah runtuh di beberapa kawasan di Sabah hingga meragut 14 nyawa termasuk seorang korban banjir.

Sementara itu, rata-rata penerima yang ditemui terharu menerima bantuan kewangan berkenaan yang semestinya ditunggu-tunggu oleh mangsa kerana dapat membantu meringankan bebanan.

Penerbit Rancangan Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) Sabah Fathin Alliza Jamal, 38, turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada kerajaan khususnya Fahmi yang hadir sendiri menyantuni mangsa khususnya warga kementerian yang terjejas akibat bencana berkenaan.

"Saya sangat bersyukur dengan bantuan diberikan. Kami sekeluarga yang tinggal di Kampung Langsat, Kinarut sering menjadi mangsa banjir sejak 2017, namun ini kali pertama saya dan keluarga dapat bantuan kewangan.

"Dulu kami tidak pernah dapat bantuan mungkin disebabkan tidak berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) disediakan," katanya sambil menambah mengalami kerugian lebih RM5,000 akibat banjir itu.

Seorang lagi mangsa yang merupakan ahli Komuniti MADINI Kampung Kibabaig, Penampang, Ricky Richard, 54, berkata dia bersyukur kerana bantuan itu juga kali pertama diterimanya sejak beberapa kali menjadi mangsa banjir.

"Rumah saya sering dilanda banjir namun tidak seteruk mangsa lain. Air naik hingga paras lutut yang memerlukan masa untuk dibersihkan dan ada juga beberapa barangan rosak.

"Terima kasih kepada kerajaan dan kita harap banyak lagi pihak yang tampil menghulurkan bantuan," katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan