AM

MIDEA PERKENALKAN PETI AIS 'INSTA-FIT MASTER SERIES', 'LAUNDRY SUITE' DI MALAYSIA

25/09/2025 05:50 PM

KUALA LUMPUR, 25 Sept (Bernama) -- Peneraju perkakas perumahan global, Midea hari ini melancarkan peti sejuk INSTA-FIT Master Series dan mesin basuh-pengering Midea Laundry Suite di Malaysia, sekali gus menjadi penanda aras baharu dalam teknologi peralatan rumah moden.

Produk baharu itu direka bentuk untuk memenuhi keperluan isi rumah masa kini yang mementingkan kesihatan, kebersihan dan kemudahan selain menampilkan reka bentuk anggun dan teknologi pembersihan termaju.

Pengarah Urusan Midea Malaysia Mark Tam berkata pengguna kini mencari peralatan yang boleh disesuaikan dengan dalaman rumah mereka tanpa mengetepikan kualiti.

"INSTA-FIT Master Series dan Midea Laundry Suite direka khas untuk memenuhi kehendak pengguna justeru membantu keluarga memastikan makanan segar lebih lama di samping meringkaskan lagi penjagaan pakaian dengan reka bentuk yang anggun dan bergaya," katanya dalam kenyataan selepas pelancaran produk berkenaan di iN Design Lab, di sini hari ini.

Sementara itu, Pengasas iN Design Lab, Iko In berkata trend reka bentuk dalaman terbuka dan bersepadu memerlukan peralatan yang serasi dengan susun atur isi rumah.

“INSTA-FIT Master Series dan Midea Laundry Suite memenuhi peralihan cita rasa ini dengan sempurna,” katanya.

Antara inovasi utama yang diperkenalkan untuk peti sejuk Master INSTA-FIT ialah keupayaannya untuk dimuatkan ke dalam ruang kabinet dengan lancar tanpa memerlukan pemasangan susulan kedalaman hanya  400 minimeter (mm) dan jarak ruang 4mm. 

Direka untuk dapur minimalis masa kini, ia juga mempunyai kemasan Shadow Grey, pemegang bercahaya GlowTech dan permukaan kalis calar yang akan sentiasa bersih dan bebas cap jari, serta kapasiti 620 liter (L) yang luas, laci boleh diakses 90 darjah dan sistem dulang yang fleksibel untuk penyimpanan mudah dengan kesemuanya dilengkapi dinding berlampu LED.

Lebih sekadar gaya, ia turut membawakan teknologi kesegaran termaju dengan laci pembekuan lembut V-Tech bagi memastikan daging dan ikan segar hingga tujuh hari tanpa penyahbekuan, manakala IPL Purify mensterilkan makanan yang dibungkus dalam masa tiga minit dan Pensterilan Plasma PST+ menghilangkan bau dalam sembilan minit.

Dihubungkan kepada aplikasi SmartHome, ia juga membolehkan pengguna mengawal suhu, memantau penggunaan tenaga, menerima peringatan tamat tempoh dan menjalankan diagnostik atau ujian kendiri daripada telefon mereka.

Selain itu, INSTA-FIT Master Series telah diiktiraf oleh Malaysia Book of Records sebagai peti sejuk pertama dalam pasaran yang menampilkan Pensterilan Plasma PST+ dengan Tahap Tertinggi Sistem Penyingkiran Virus Pemurnian PST serta penulenan bau, menetapkan penanda aras baharu untuk pembasmian kuman, virus dan penyingkiran bau dalam industri.

Midea Suite Laundry pula menawarkan kombo mesin basuh-pengering ultra nipis dengan skrin sentuh berwarna penuh 115 sentimeter, yang mampu menyelesaikan kitaran basuh dan kering dalam 35 minit sahaja.

Ia juga dilengkapi pensterilan UV, pembersihan wap, penyingkiran hama dan fungsi pembersihan diri untuk penjagaan kebersihan menyeluruh.

Peti sejuk INSTA-FIT Master Series dan Midea Laundry Suite akan berada di pasaran Malaysia dengan tawaran istimewa hingga 30 Nov 2025, dengan Peti Sejuk Insta-Fit 620L French Door berharga RM6,099, Peti Sejuk Empat Pintu Insta-Fit 620L (RM5,899) dan Laundry Suite (RM7,339).

Sempena debut produk, pelawat Makmal Reka Bentuk iN boleh melihat INSTA-FIT Master Series and Laundry Suite dalam susunan rumah sebenar yang interaktif, menguji ciri utama dan meneroka bagaimana perkakas Midea itu menyesuaikan diri dengan susur atur dan keperluan yang berbeza.

Ruang pameran akan berfungsi sebagai hab reka bentuk untuk pengguna dan pereka dalaman profesional menunjukkan bagaimana teknologi pintar Midea disepadukan dengan lancar ke dalam pelbagai gaya hidup dan estetika rumah.

-- BERNAMA 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan