AM

KERAJAAN SASAR KURANG KADAR PENAGIHAN, TINGKAT KEBERKESANAN RAWATAN DADAH MENJELANG 2026

26/09/2025 10:33 AM

Oleh Nurul Hanis Izmir

PUTRAJAYA, 26 Sept (Bernama) -- Kerajaan menyasarkan pengurangan kadar penagihan dadah dan peningkatan keberkesanan rawatan serta pemulihan menjelang 2026 melalui peluasan akses perkhidmatan serta penggunaan kaedah rawatan yang lebih dinamik dan menyeluruh.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata selaku Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Membanteras Gejala Dadah (JKMD), petunjuk prestasi utama (KPI) diharapkan beliau ialah memastikan lebih ramai individu menerima rawatan dan pemulihan termasuk melalui pendekatan sukarela dan menyeluruh.

“Liputan perkhidmatan rawatan dan pemulihan ini selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2030, khususnya Perkara 3.5.1 iaitu memastikan intervensi farmakologi, psikososial dan pemulihan serta jagaan susulan dapat diakses oleh mereka yang berdepan masalah kecelaruan penggunaan bahan psikotropik,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual baru-baru ini.

Beliau berkata kemudahan capaian rawatan turut diperkukuh melalui inisiatif Mobile Recovery Treatment (MRT) Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), TeleHello AADK serta fasiliti rawatan dan pemulihan di setiap negeri, daerah, pusat khidmat, rumah komuniti, rumah perantaraan dan Baitul Islah.

“Peluasan akses rawatan ini membolehkan lebih ramai individu masuk ke dalam sistem rawatan lebih awal dan menjalani intervensi awal bagi mencegah penagihan menjadi lebih kronik atau berulang. Selain itu, AADK juga melaksanakan Post Continuum of Care Programme (PCCP) agar klien dapat mengekalkan kepulihan jangka panjang dengan sistem sokongan sosial dan profesional secara berterusan,” katanya.

Ahmad Zahid berkata keberkesanan rawatan turut diukur melalui Indeks Kepulihan Klien yang dibangunkan AADK, berasaskan piawaian antarabangsa Substance Abuse and Mental Health Services Administration (SAMSHA) yang menilai pencapaian dalam empat dimensi utama iaitu kesihatan, tempat tinggal, tujuan dan komuniti.

“Kepulihan klien bukan sekadar berhenti menggunakan dadah, tetapi melibatkan pencapaian individu dalam semua aspek kehidupan yang dilaluinya. Bermula 2019 hingga Jun 2025, kadar kepulihan klien meningkat daripada 65 peratus kepada 80 peratus selama enam tahun berturut-turut.

“Menjelang 2026, sasaran kadar kepulihan 80 peratus ini dikekalkan hingga 2030, jauh lebih tinggi berbanding purata antarabangsa yang ditetapkan National Institute on Drug Abuse (NIDA), Amerika Syarikat iaitu 40 hingga 60 peratus,” katanya.

Berdasarkan data yang dikongsi AADK, situasi penyalahgunaan dadah kini berada pada tahap kritikal dengan peningkatan 32.5 peratus kes dari 2023 ke 2024.

Berdasarkan statistik, pada 2023, terdapat 436 penagih bagi setiap 100,000 penduduk dan angka itu melonjak kepada 586 pada tahun lepas.

Setakat Jun tahun ini, kadar itu masih tinggi iaitu 396 penagih bagi setiap 100,000 penduduk.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan