JOHOR BAHRU, 26 Sept (Bernama) -- Malaysia mengulangi komitmen untuk bekerjasama rapat dengan ASEAN dan rakannya bagi menekankan kepentingan dialog strategik sebagai pelengkap dan penyempurna kerjasama praktikal di bawah rangka kerja Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN-Plus (ADMM-Plus).
Kementerian Pertahanan (MINDEF) dalam kenyataan memaklumkan perkara itu selaras dengan semangat perpaduan, keterangkuman, keselamatan dan kelestarian demi keamanan serta kemakmuran rantau ini.
Komitmen itu disampaikan melalui Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan Pertahanan ASEAN-Plus (ADSOM-Plus) 2025 yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Lokman Hakim Ali yang berlangsung di Desaru, Kota Tinggi semalam.
"Mesyuarat ini menghimpunkan Pegawai-Pegawai Kanan Pertahanan dari kesemua sepuluh negara anggota ASEAN dan lapan negara rakan kongsi bersama-sama wakil Sekretariat ASEAN... Timor-Leste turut mengambil bahagian sebagai pemerhati," menurut kenyataan itu.
Menurut MINDEF, mesyuarat itu mengkaji kemajuan kesemua tujuh Kumpulan Kerja Pakar (EWG) bagi kitaran 2024-2027.
Ini merangkumi bidang seperti keselamatan maritim, bantuan kemanusiaan dan bencana, antikeganasan, perubatan ketenteraan, operasi menjaga keamanan, aktiviti penghapusan ranjau secara kemanusiaan dan keselamatan siber.
MINDEF turut memaklumkan bahawa mesyuarat itu amat penting sebagai sebahagian daripada persiapan menjelang ADMM-Plus yang akan berlangsung pada 1 Nov ini.
Menurut kementerian itu, perjalanan selama 15 tahun ADMM-Plus sejak penubuhannya sekali lagi mengukuhkan prinsip Kepusatan ASEAN sebagai asas dan platform bagi kerjasama pertahanan serantau.
-- BERNAMA