SUKAN

LIGA SUPER: KELANTAN TRW LONJAK KEDUDUKAN KEEMPAT, DPMM TERUS KEMPUNAN

26/09/2025 11:14 PM

KUALA LUMPUR, 26 Sept (Bernama) -- Kelantan The Real Warriors (TRW) FC mencatat kemenangan tipis 2-1 ke atas DPMM FC dalam aksi Liga Super yang berlangsung di Stadium Sultan Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan, malam ini.

Bertandang ke gelanggang lawan, Kelantan TRW menghadapi tentangan sengit daripada pasukan tuan rumah sebelum akhirnya memecah kebuntuan pada minit ke-36 menerusi jaringan kapten pasukan Ifedayo Olusegun.

Gol kedua pasukan pelawat hadir lima minit kemudian, hasil jaringan Muhammad Nor Azam Abdul Azih yang menewaskan penjaga gol DPMM Muhammad Haimie Abdullah Nyaring.

Memasuki babak kedua, DPMM berjaya merapatkan jurang jaringan pada minit ke-56 melalui jaringan Jordan de Paula Rodrigues.

Walaupun pasukan tuan rumah meningkatkan asakan dalam 10 minit terakhir perlawanan, pertahanan mantap Kelantan TRW berjaya mengekalkan kemenangan sehingga wisel penamat.

Kemenangan ini melonjakkan Kelantan TRW ke kedudukan keempat liga dengan mengumpul lapan mata, manakala DPMM kekal di dasar liga dengan satu mata.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan