DUNIA

TARIF AS DIJANGKA BERI KESAN KEPADA DAGANGAN DI BURSA MALAYSIA MINGGU DEPAN

27/09/2025 10:57 AM

Oleh Zufazlin Baharuddin

KUALA LUMPUR, 27 Sept (Bernama) -- Bursa Malaysia dijangka menyaksikan dagangan tidak menentu minggu depan dalam persekitaran ketidaktentuan mengenai langkah tarif Amerika Syarikat (AS) walaupun pembelian institusi yang berterusan sepatutnya menyokong kecenderungan positif.

Ini susulan pengumuman Presiden AS Donald Trump mengenai tarif baharu baru-baru ini termasuk duti 100 peratus ke atas ubat berjenama, tarif 25 peratus ke atas semua trak tugas berat dan tarif 50 peratus terhadap kabinet dapur berkuat kuasa 1 Oktober depan.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata langkah itu boleh mempengaruhi pasaran apabila pelabur menilai kesannya terhadap perdagangan global dan pertumbuhan ekonomi.

"Dagangan di Bursa Malaysia dijangka menjadi tidak menentu dalam persekitaran ketidakpastian mengenai apa yang akan dilakukan oleh Trump seterusnya. Bagaimanapun, ia mungkin kekal dalam kecenderungan positif, disokong oleh pembelian institusi yang berterusan," katanya kepada Bernama.

Pada asas Jumaat kepada Jumaat, indeks utama meningkat 10.82 mata kepada 1,609.05 daripada 1,598.23 pada seminggu sebelumnya.

"Kembali pada paras 1,600 adalah pencapaian positif bagi indeks penanda aras, mengukuhkan keupayaannya untuk mendepani cabaran baru-baru ini. Ambang yang signifikan secara psikologi ini menunjukkan bahawa pembeli kembali ke pasaran, meletakkan asas untuk sentimen pasaran yang lebih kukuh," kata Thong.

Indeks FBM Emas naik 33.71 mata kepada 11,993.44, Indeks FBMT 100 melonjak 77.73 mata kepada 11,725.04 dan Indeks FBM Emas Shariah menambah 85.10 mata kepada 12,048.47, Indeks FBM ACE tinggi 285.03 mata kepada 5,200.46 manakala Indeks FBM 70 menambah 106.95 mata kepada 16,850.35. 

Mengikut sektor, Indeks Perladangan melonjak 18.31 mata kepada 7,762.65, 

Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan meningkat 5.65 mata kepada 173.76, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 153.54 mata kepada 18,156.84 dan Indeks Tenaga menambah 27.20 mata kepada 782.52.

Jumlah dagangan melonjak kepada 17.03 bilion unit bernilai RM13.37 bilion daripada 12.52 bilion unit bernilai RM11.25 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Utama naik kepada 8.80 bilion unit bernilai RM11.55 bilion berbanding 6.96 bilion unit bernilai RM9.98 bilion sebelumnya.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 5.45 bilion unit bernilai RM826.39 juta berbanding 4.03 bilion unit bernilai RM660.45 juta pada minggu terdahulu.

Jumlah dagangan Pasaran ACE menokok kepada 2.99 bilion unit bernilai RM982.62 juta daripada 1.52 bilion unit bernilai RM610.19 juta sebelumnya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan