AM

LEBIH 50,000 RAKYAT MERIAHKAN PERARAKAN KERETA BERHIAS SEMPENA ULANG TAHUN SULTAN KELANTAN

28/09/2025 03:47 PM

KOTA BHARU, 28 Sept (Bernama) -- Lebih 50,000 rakyat di negeri ini dijangka membanjiri acara perarakan kereta berhias pada Sabtu ini, bersempena pemasyhuran perayaan ulang tahun keputeraan Sultan Muhammad V ke-56 yang berlangsung selama lapan hari bermula semalam.

Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan Datuk Dr Tengku Mohamed Faziharudean Tengku Feissal berkata acara yang lebih 10 tahun tidak diadakan itu akan berlangsung pada 8 malam bermula dari Kompleks Kota Darul Naim hingga Stadium Sultan Muhammad IV.

"Kita jangkakan acara ini akan menjadi tarikan utama bagi pemasyhuran sambutan ulang tahun Sultan Muhammad V tahun ini kerana rakyat berpeluang menyaksikan acara itu di sepanjang lokasi perarakan hingga stadium.

"Perarakan kereta berhias ini membabitkan penglibatan semua pihak berkuasa tempatan (PBT), jabatan dan agensi kerajaan selain pihak swasta dengan jarak sepanjang dua kilometer," katanya pada sidang media di bilik mesyuarat Pejabat Sultan Kelantan Istana Balai Besar, di sini hari ini.

Beliau berkata pelbagai istiadat lain turut disusun sepanjang sambutan itu termasuk solat hajat, istiadat meletak kerja, pemeriksaan perbarisan di Stadium Sultan Muhammad IV, pesta flora selain acara kemuncak, istiadat pengurniaan kehormatan kebesaran negeri di Istana Balai Besar esok.

Beliau berkata perayaan yang bertemakan 'Islam Dijunjung, Rakyat Bersatu, Negeri Berkata, Raja Berdaulat' itu turut diserikan dengan Majlis Raja Bersama Rakyat di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad Ke-IV pada Rabu, selain solat Jumaat dan jamuan rakyat di Masjid Al Taqwa Pasir Mas 3 Okt.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan