GEORGE TOWN, 29 Sept (Bernama) -- Polis menumpaskan sindiket memproses dan mengedar dadah jenis Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) selepas menahan dua lelaki termasuk ‘pakar kimia’ bersama rampasan bernilai RM1.7 juta dalam dua serbuan, di sini.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Azizee Ismail berkata serbuan dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri antara pukul 9 malam semalam hingga 8 pagi tadi, hasil risikan sejak beberapa minggu lalu.
“Dalam serbuan pertama di kawasan parkir kenderaan di George Town, polis menahan seorang lelaki berusia 27 tahun dan merampas lima paket dadah disyaki MDMA seberat 129 gram.
“Susulan itu, polis menyerbu sebuah premis di Jelutong dan menahan seorang lagi lelaki berusia 50 tahun yang dipercayai berperanan sebagai ‘pakar kimia’ sindiket terbabit,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata pemeriksaan lanjut di premis berkenaan menemukan 146 paket plastik pelbagai warna mengandungi MDMA seberat 3.78 kilogram (kg), empat botol MDMA (6.21kg), 100 biji pil Eramin 5, ketamin (12.83 gram), 75 biji pil ekstasi serta pelbagai peralatan memproses dadah.
Azizee berkata sindiket itu dipercayai menjalankan kegiatan memproses dan mengedar MDMA sejak awal September lalu dan mampu membekalkan bahan terlarang itu kepada kira-kira 50,000 penagih.
Katanya siasatan mendapati sindiket itu memperoleh bekalan daripada rangkaian pengedaran sebelum memproses sendiri untuk pasaran tempatan termasuk di pusat hiburan.
“Kedua-dua suspek yang tidak bekerja itu didapati positif amphetamine, methamphetamine dan ketamin, selain mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah,”katanya.
Beliau berkata polis turut menyita sebuah kereta jenis Proton X50 bernilai RM82,000 menjadikan keseluruhan rampasan termasuk dadah sebanyak RM1.782 juta.
Menurutnya kedua-dua lelaki itu direman selama tujuh hari sehingga 5 Okt bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
-- BERNAMA