EKONOMI

SCIMS MULA BEROPERASI PADA DISEMBER INI, LINDUNGI RANTAIAN BEKALAN - TENGKU ZAFRUL

30/09/2025 02:58 PM

KUALA LUMPUR, 30 Sept (Bernama) -- Supply Chain Intelligent Management System (SCIMS), satu inisiatif Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), dijangka mula beroperasi pada Disember 2025, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata berdasarkan tahap kerentanan dan profil risiko, pihaknya telah membangunkan lapan pelan rantaian bekalan untuk mengenal pasti dan mendokumentasikan setiap peserta industri di sepanjang keseluruhan rantaian bekalan sektor.

“Matlamat keseluruhan SCIMS adalah untuk memetakan sektor utama negara kita. Idea ini sebenarnya bermula semasa tempoh COVID-19, kerana ketika itu kita mahu mengetahui sektor yang perlu diberi keutamaan untuk memastikan rantaian bekalan kekal berdaya tahan.

“Kini dengan cabaran tarif, kita juga ingin mengenal pasti kerentanan dalam industri kita, terutama industri utama,” katanya pada sidang media pada Hari Terbuka Syarikat Peneraju MBSB Group dan Sesi Padanan Perniagaan Vendor di sini, Selasa.

Pada acara itu, Tengku Zafrul juga mengumumkan pembiayaan RM100 juta di bawah program Pemecut Akses Pasaran Global (GLOMAX) oleh MIDF, yang dirangka untuk menyediakan dan memacu sekurang-kurangnya 50 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta syarikat pertengahan (MTC) ke pasaran antarabangsa.

Beliau berkata fokus program itu bukan hanya kepada pembiayaan malah juga khidmat nasihat bagi membina keupayaan syarikat untuk bersaing di peringkat antarabangsa secara tersusun dan mampan.

GLOMAX juga dirangka untuk melengkapkan program eksport sedia ada oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan SME Corporation Malaysia (SME Corp).

“Penting bagi bank seperti MBSB Bhd untuk memberikan sokongan kepada rantaian bekalan kita. Bagi keterjaminan ekonomi, kita perlu memastikan rantaian bekalan kita terjamin dan berdaya tahan. Susulan penjajaran semula rantaian bekalan di seluruh dunia, kita perlu beringat mengenai kesannya terhadap Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata Malaysia sedang memperjuangkan daya tahan rantaian bekalan serantau yang lebih teguh dan integrasi melalui kepengerusian ASEAN 2025.

“Menerusi langkah memperkukuh ekosistem vendor tempatan kita, syarikat dan PKS kita dapat memanfaatkan kerjasama serantau secara aktif untuk memacu rantaian bekalan baharu serta peluang pelaburan yang menjanjikan pertumbuhan kukuh,” katanya.

Hari Terbuka Syarikat Peneraju dan Sesi Padanan Perniagaan Vendor MBSB Group yang diadakan di Pusat Konvensyen Sime Darby menghubungkan lebih 400 PKS dan vendor dengan 20 syarikat utama, menjadikannya sebagai satu acara penting dalam usaha memperkukuh ekosistem rantaian bekalan Malaysia.

“PKS, secara keseluruhannya, membentuk kira-kira 98 peratus daripada perniagaan yang berdaftar di Malaysia.

“Oleh itu, semakin banyak kita membawa masuk PKS Malaysia ke dalam rantaian bekalan syarikat-syarikat besar maka semakin kita memperkasakan PKS kita untuk berinovasi, berkembang dan mencipta pekerjaan berkualiti tinggi,” katanya.

Tengku Zafrul juga menekankan kepentingan perkongsian awam-swasta untuk mencapai hasil.

“Sebagai Menteri di MITI, saya berasa gembira melihat syarikat berkaitan kerajaan dan peneraju industri yang hadir hari ini bekerjasama dengan agensi seperti MBSB Bank dan MIDF.

“Kerjasama ini merapatkan jurang antara dasar dan pelaksanaan, memastikan strategi kita bersifat inklusif melibatkan semua pihak berkepentingan untuk benar-benar memangkinkan pembangunan industri,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan