SHAH ALAM, 29 Sept (Bernama) -- Jalan Istana, Klang akan ditutup bermula 8 pagi hingga 10 pagi pada 2 Okt ini bagi memberi laluan kepada istiadat perarakan pernikahan Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Ketua Polis Daerah Klang ACP Ramli Kasa berkata jalan raya lain di sekitar bandar raya Klang tidak ditutup tetapi akan dikawal sepenuhnya oleh polis trafik.
"Bagi daerah lain di Selangor yang tidak terlibat dengan majlis tersebut tiada sebarang penutupan jalan akan dilaksanakan. Semua aliran trafik di kawasan berkenaan akan berjalan seperti biasa," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ramli dalam kenyataan sama menasihatkan orang ramai untuk tidak mempercayai sebarang notis atau makluman disebarkan pihak tidak bertanggungjawab selain makluman rasmi daripada polis.
Beliau berkata sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut mengenai lalu lintas berhubung istiadat tersebut boleh diperoleh dengan menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan di talian 03-337 19999.
"Polis merakamkan penghargaan kepada masyarakat atas kerjasama yang diberikan demi memastikan kelancaran majlis ini," katanya.
Istiadat perarakan pernikahan diraja melibatkan Tengku Amir Shah bersama pasangannya Afzaa Fadini Abdul Aziz akan diarak menaiki kenderaan istana bermula di Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz hingga ke Istana Alam Shah.
-- BERNAMA