AM

THAIPUSAM, HARI WILAYAH PERSEKUTUAN DIWARTAKAN CUTI AM 2026

31/12/2025 02:17 PM

KUALA LUMPUR, 31 Dis (Bernama) -- Kerajaan Persekutuan telah mewartakan Hari Thaipusam dan Hari Wilayah Persekutuan sebagai hari kelepasan am bagi 2026, yang masing-masing jatuh pada 1 Februari.

Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia memaklumkan cuti Hari Wilayah Persekutuan merupakan cuti wajib yang perlu diberikan oleh majikan sektor swasta di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan serta tidak boleh diganti selaras dengan peruntukan seksyen 60D(1)(a)(iii) Akta Kerja 1955 [Akta 265].

“Memandangkan cuti Hari Wilayah Persekutuan pada 2026 jatuh pada hari Ahad, majikan yang menetapkan Ahad sebagai hari rehat mingguan hendaklah memberikan cuti gantian pada hari bekerja berikutnya, iaitu Isnin.

“Sementara itu, majikan yang memilih Hari Thaipusam sebagai sebahagian daripada baki enam hari kelepasan am pilihan di bawah Subseksyen 60D(1)(a) Akta 265 perlu memberikan cuti gantian pada hari bekerja berikutnya, iaitu Selasa, susulan pertindihan kedua-dua hari kelepasan am berkenaan,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, majikan juga boleh memberikan mana-mana hari lain sebagai hari kelepasan berbayar sebagai ganti, tertakluk kepada persetujuan pekerja, selaras dengan Subseksyen 60D(1A) akta sama.

“Pekerja yang diarah bekerja pada hari kelepasan am layak menerima kadar gaji bagi cuti am seperti yang ditetapkan dalam Seksyen 60D(3),” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan