KUALA LUMPUR, 31 Dis (Bernama) -- Hasil semangat kerjasama dalam kalangan rakyat tanpa mengira status sosial membolehkan Malaysia mengharungi dan mendepani pelbagai cabaran ekonomi sepanjang 2025, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
Beliau berkata sebagai buktinya, ekonomi negara mencatat pertumbuhan 5.2 peratus pada suku ketiga 2025 berbanding 4.4 peratus pada suku kedua, dipacu oleh prestasi kukuh merentas semua sektor utama ekonomi.
"Setinggi-tinggi kesyukuran atas segala nikmat dan kekuatan yang telah membolehkan kita mengharungi pelbagai cabaran sepanjang 2025, berkat semangat 'segulai sejalai' antara kerajaan, penjawat awam, sektor swasta dan segenap lapisan rakyat yang membolehkan Malaysia mampu mendepani apa jua cabaran.
"Alhamdulillah perjalanan Kerajaan MADANI pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sudah mencecah usia tiga tahun. Perjalanan ini bukan mudah dan masih panjang, namun kerajaan akan terus komited memberikan khidmat terbaik demi kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia," katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Mengulas perkembangan di peringkat antarabangsa, Fadillah berkata ketegangan geopolitik dan konflik berpanjangan di Timur Tengah menjejaskan keselamatan tenaga dan rantaian bekalan global, sekali gus menjadi iktibar kepada negara bahawa kestabilan politik, perpaduan rakyat dan pengurusan ekonomi yang berhemah adalah benteng utama negara.
Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air turut menegaskan bahawa kejayaan Malaysia sebagai tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 berjaya mengembalikan fokus ASEAN kepada keutamaan bersama seperti kestabilan ekonomi, sekuriti makanan dan tenaga, sekali gus mengukuhkan peranan ASEAN sebagai kuasa penstabil serantau.
"Kepengerusian ASEAN 2025 bukan sahaja mengangkat imej Malaysia di mata dunia, malah mengukuhkan kedudukan negara sebagai rakan strategik yang dipercayai serta membuka peluang ekonomi dan kerjasama yang lebih luas demi kesejahteraan rakyat dan masa depan serantau yang mampan," katanya.
Di peringkat Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Fadillah berkata ia telah mencatatkan pencapaian bersejarah menerusi penganjuran Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN Ke-43 (AMEM-43) dengan pelancaran Pelan Tindakan ASEAN untuk Kerjasama Tenaga (APAEC) 2026–2035.
Beliau berkata pencapaian itu turut merangkumi pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) yang dipertingkatkan bagi Grid Kuasa ASEAN (APG), Perjanjian Keselamatan Petroleum ASEAN (Perjanjian Pengganti) dan pelancaran Inisiatif Pembiayaan APG dengan kerjasama Bank Pembangunan Asia (ADB) dan Bank Dunia.
"Pencapaian ini bukan sekadar kejayaan diplomatik tetapi satu manifestasi kepimpinan Malaysia dalam memacu agenda tenaga ASEAN ke arah masa depan yang inklusif dan mampan.
"PETRA akan terus memperkasa agenda peralihan tenaga dan pada masa sama, mempergiat usaha mentransformasikan pengurusan sumber air negara demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara," katanya.
Fadillah turut mengucapkan terima kasih atas sokongan rakyat dan mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk melangkah ke tahun 2026 dengan semangat kebersamaan yang lebih kukuh.
--BERNAMA
