AM

TUJUH MANGSA TERMASUK IBU MENGANDUNG DIPINDAHKAN SUSULAN JAMBATAN RUNTUH DI ROMPIN

02/01/2026 07:30 PM

KUANTAN, 2 Jan (Bernama) -- Polis berjaya memindahkan tujuh individu termasuk seorang wanita sarat mengandung dan seorang kanak-kanak selepas terperangkap susulan kejadian jambatan runtuh di Sungai Mok, Rompin petang tadi. 

Ketua Polis Daerah Rompin Supt Sharif Shai Sharif Mondoi berkata kejadian runtuhan jambatan yang menghubungkan Kampung Selendang dan Kampung Sungai Mok itu dilaporkan berlaku kira-kira 8 pagi, sebelum tiga anggota dari Balai Polis Kuala Rompin digerakkan bagi melaksanakan misi bantuan kemanusiaan dan pemindahan mangsa pada kira-kira 2.20 petang tadi.

“Operasi pemindahan melibatkan dua lelaki dewasa, tiga wanita warga emas, seorang ibu mengandung dan seorang kanak-kanak perempuan. Mangsa yang berisiko tinggi dipindahkan terlebih dahulu bagi memastikan keselamatan mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata semua mangsa berusia antara 11 hingga 55 tahun dipindahkan untuk menetap di rumah saudara-mara masing-masing.

“Ibu mengandung yang terlibat juga tidak memerlukan rawatan hospital dan telah dihantar terus ke rumah saudara di Kampung Tanam, memandangkan tarikh jangkaan bersalin adalah pada 7 Jan,” katanya. 

Dalam perkembangan lain, Pejabat Jurutera Daerah Jabatan Kerja Raya Rompin dalam kenyataan memaklumkan Jalan Kampung Sungai Mok ditutup sepenuhnya kepada semua jenis kenderaan bermula hari ini berikutan kejadian runtuhan jambatan itu.

“Penutupan melibatkan laluan di Jambatan No. 1 dan tiada laluan alternatif disediakan. Orang ramai dinasihatkan supaya mematuhi papan tanda serta arahan yang ditetapkan demi keselamatan,” menurut hantaran itu. 

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan