AM

AIR NAIK CEPAT, TAK SEMPAT SELAMAT BARANG - PENDUDUK KAMPUNG RAMPAYAN LAUT

04/01/2026 02:15 PM

KOTA KINABALU, 4 Jan (Bernama) -- Penduduk Kampung Rampayan Laut di sini menyifatkan banjir semalam yang paling buruk pernah dialami kerana paras air naik dengan cepat sehingga tidak sempat menyelamatkan barangan rumah.

Jalinah Md Jali, 62, yang ditemui semasa sedang membersihkan rumah berkata banjir sehingga paras pinggang itu tidak pernah berlaku sepanjang tinggal di kampung itu sejak kecil, kerana kebiasaannya, banjir hanya di luar rumahnya. 

“Air naik dengan cepat menyebabkan perabot, barangan elektrik seperti peti sejuk dan kelengkapan rumah lain musnah. Sedih kerana sudah tinggal di sini lebih 60 tahun tidak pernah banjir seteruk ini,” katanya.

Jalinah berkata Kampung Rampayan Laut kini semakin dikenali kerana kerap banjir setiap kali hujan lebat dan berharap wakil rakyat serta agensi berkaitan dapat mencari penyelesaian jangka panjang bagi mengatasi masalah itu.

Seorang lagi mangsa, Jali Jawi, 52, berkata banjir yang bermula kira-kira 5.30 petang dan surut awal pagi tadi lebih teruk kerana berlaku serentak dengan air pasang besar. 

“Banjir mula berlaku setiap kali hujan lebat lebih dua jam. Tapi semalam lain, air juga masuk ke kawasan masjid (di kampung itu) yang tidak pernah berlaku kerana kawasan itu yang lebih tinggi,” katanya.

Tinjauan Bernama mendapati banjir mula surut dengan hampir seluruh kawasan masih dipenuhi lumpur tebal sehingga menyukarkan penduduk membersihkan kediaman mereka.

Sisa perabot rosak dan barangan rumah yang dihanyutkan air bertaburan sementara penduduk melakukan kerja pembersihan termasuk mengeluarkan lumpur dari dalam rumah serta menjemur barangan yang masih boleh diselamatkan.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah memaklumkan jumlah mangsa banjir di negeri itu pada pagi ini sebanyak 495 orang, iaitu 180 mangsa di Kota Kinabalu dan bakinya di Beaufort.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan