| BERITA TERGEMPAR | Warga ATM terlibat aktiviti tidak bermoral, rosakkan imej ATM akan disingkir daripada perkhidmatan - Mohamed Khaled | |
Oleh N.Kuvineshwaren
BANTING, 12 Jan (Bernama) -- Ketika nasi manis Ponggal yang dimasak di dalam periuk tanah mula mendidih dan aroma memenuhi udara, batang-batang tebu kekal menghiasi pintu rumah sebagai simbol penting dalam sambutan Ponggal, melambangkan harapan, kesyukuran serta kemanisan hidup.
Sehubungan itu, setiap kali tibanya Pesta Ponggal atau pesta menuai yang disambut masyarakat Tamil di seluruh negara, permintaan terhadap tebu meningkat ketara sehingga peniaga tidak menang tangan memenuhi keperluan.
Bagi peniaga tebu, K Kasturi, 31, walaupun jualan tebu dijalankan sepanjang tahun, permintaan biasanya melonjak beberapa minggu sebelum Ponggal, khususnya pada Januari.
“Kami menjual tebu setiap bulan, termasuk air tebu. Namun, menjelang Ponggal, permintaan jauh lebih tinggi kerana ia digunakan untuk upacara keagamaan, hiasan rumah, serta majlis komuniti,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di ladang tebunya di Kampung Olak Lempit, di sini.
Beliau berkata tebu membawa makna yang sangat mendalam dalam sambutan Ponggal, melambangkan kemanisan hidup dan kesyukuran atas limpahan rezeki hasil pertanian, selain penghargaan kepada Dewa Matahari.
Menurutnya amalan meletakkan tebu di pintu rumah atau di sekeliling periuk Ponggal seolah-olah menjadi doa agar rezeki terus mengalir sepanjang tahun.
Mengulas permintaan terhadap tanaman tebu yang diusahakannya, Kasturi berkata pelanggannya bukan hanya terdiri daripada ahli keluarga, kuil dan penganjur acara komuniti, malah turut membabitkan pembeli dari Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor serta Singapura.
Katanya pada peringkat awal, penanaman tebu yang diusahakan bersama keluarga dijalankan di kawasan seluas satu hektar sebelum berkembang kepada tiga hektar ketika ini, sejajar peningkatan permintaan.
Walaupun berkhidmat secara profesional sebagai akauntan, Kasturi memilih untuk menguruskan perniagaan keluarga mentuanya sebagai satu minat dan tanggungjawab, selain meneruskan legasi yang dibina sejak beberapa tahun lalu.
Menurutnya, pusingan pertama penanaman tebu mengambil masa kira-kira setahun sebelum dituai, manakala tuaian seterusnya boleh dilakukan dalam tempoh lebih singkat, sekitar tiga hingga empat bulan.
Mengulas permintaan tebu sempena Ponggal tahun ini, Kasturi berkata ia meningkat berbanding tahun lalu, mencecah kira-kira 10,000 batang, namun pengeluaran terjejas akibat cuaca tidak menentu.
“Disebabkan cuaca tidak menentu, hasil tebu tahun ini berkurangan kepada sekitar 4,000 batang berbanding kira-kira 6,000 batang pada tahun lalu,” katanya.
Beliau berkata perubahan cuaca memberi kesan besar terhadap kualiti tanah, khususnya pada musim hujan, sekali gus menyukarkan usaha menghasilkan tanaman tebu yang sihat dan berkualiti.
Kasturi turut menjelaskan terdapat dua jenis tebu yang lazim digunakan di Malaysia, iaitu tebu kuning dan tebu hitam, dengan permintaan terhadap tebu hitam lebih tinggi sempena Ponggal kerana rasanya yang lebih manis dan ranggup, sekali gus menjadikannya lebih mahal berbanding tebu kuning.
Ponggal ialah perayaan kesyukuran masyarakat Tamil bagi menzahirkan penghargaan kepada Tuhan atas limpahan hasil pertanian dan disambut pada hari pertama bulan Thai dalam kalendar Tamil yang lazimnya jatuh pada Januari.
Perayaan selama empat hari itu bermula dengan Bhogi, diikuti Thai Ponggal yang menyaksikan penyediaan nasi manis sebagai persembahan kepada Dewa Matahari, disusuli Mattu Ponggal sebagai tanda penghargaan kepada haiwan ternakan, sebelum diakhiri dengan Kaanum Ponggal.
-- BERNAMA
