IPOH, 4 Jan (Bernama) -- Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) hari ini mengagihkan bantuan persekolahan kepada 100 anak nelayan di Hilir Perak sekali gus meringankan beban komuniti berkenaan.
LKIM dalam kenyataan memaklumkan agensi itu menganjurkan Program MADANI Anak Nelayan Kembali ke Sekolah LKIM di Dewan Dato’ Haji Mohamed Jamrah, Sungai Sumun dekat Hutan Melintang, Bagan Datuk hari ini dengan kerjasama BH Petrol, Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) dan Yayasan Nelayan Malaysia (YANEM).
Menurut kenyataan itu, Pengerusi LKIM Muhammad Faiz Fadzil menyampaikan bantuan persekolahan berupa wang tunai bernilai RM100 serta beg sekolah dan botol air kepada setiap penerima pada majlis tersebut.
"Program ini dilihat mampu membantu meringankan beban kewangan keluarga nelayan di kawasan Hilir Perak dalam menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anak di samping memberikan kegembiraan dan suntikan semangat kepada para pelajar dalam menghadapi sesi persekolahan baharu.
"Ia juga diharapkan dapat menjadi galakan kepada anak-anak nelayan untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam sahsiah dan akademik," menurut LKIM.
Inisiatif itu mencerminkan komitmen berterusan LKIM dalam memastikan kebajikan, nasib serta masa depan nelayan dan anak mereka sentiasa terbela, menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
