AM

PASUKAN PETUGAS KHAS PANTAU PELAKSANAAN PROJEK JALAN RAYA GEDONG - UGGAH

05/01/2026 05:54 PM

KUCHING, 5 Jan (Bernama) -- Satu jawatankuasa petugas khas akan ditubuhkan bagi memantau secara rapi pelaksanaan projek infrastruktur jalan raya bernilai kira-kira RM2.7 bilion di Gedong, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Uggah yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak (MIPD) berkata pasukan yang dipengerusikan timbalannya Datuk Aidel Lariwoo itu, akan mengadakan mesyuarat berkala bagi melihat kemajuan projek serta menangani cabaran sepanjang pelaksanaannya.

“Hari ini kita mengadakan mesyuarat bersama Jabatan Tanah dan  Survei Sarawak serta Jabatan Kerja Raya Sarawak (JKRS) bagi memastikan projek ini dapat disiapkan mengikut jadual. JKRS dan MIPD komited untuk memantau projek ini secara rapi bagi memastikan ia siap tepat pada masanya.

“Ini adalah komitmen kita, sebab itu itu kita sentiasa turun padang. Kita telah mengarahkan agar mesyuarat diadakan setiap hari dan setiap bulan, bagi menyelia perkembangan projek dan melaporkannya kepada saya setiap dua bulan… kerana amat penting projek ini dilaksanakan seperti dirancang,” katanya kepada pemberita selepas meninjau projek jalan raya di Gedong hari ini.

Beliau berkata pasukan petugas khas itu akan bekerjasama rapat dengan JKRS, Jabatan Tanah dan Survei serta kontraktor untuk memastikan penyelarasan khususnya dalam menyelesaikan isu berkaitan tanah yang menjadi antara cabaran menjejaskan kemajuan projek.

Uggah berkata projek jalan raya di Gedong melibatkan tiga pembangunan utama merangkumi 10 pakej pembinaan, dengan kontraktor telah digerakkan di beberapa lokasi.

Projek tersebut merangkumi Lebuh Raya Serian-Gedong-Samarahan melibatkan lima pakej, kerja menaik taraf Jalan Gedong-Simunjan dengan dua pakej serta cadangan pembinaan Jalan Gedong-Semalatong merangkumi tiga pakej.

Pelaksanaan projek dijangka meningkatkan keterhubungan, memudahkan aktiviti ekonomi serta mempertingkatkan kualiti hidup penduduk Gedong dan kawasan sekitarnya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan