KINABATANGAN, 12 Jan (Bernama) -- Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag bukan sahaja menyaksikan pertembungan idea dan strategi politik malah mengubah suasana sekitar kawasan itu menjadi lebih sibuk.
Kehadiran jentera parti, petugas kempen dan petugas media dari luar kawasan membawa limpahan rezeki kepada pengusaha inap desa dan kedai dobi setempat, yang kini menikmati tempahan penuh dan pelanggan sepanjang tempoh PRK diadakan.
Beberapa pengusaha inap desa di daerah itu menyifatkan PRK kali ini sebagai ‘rezeki terpijak’ yang amat bermakna sekali gus membantu kelangsungan perniagaan mereka selepas sekian lama hanya bergantung kepada sektor pelancongan domestik.
Bercakap kepada Bernama, Pengurus Sazati Homestay Zurinah Sakirim, 38, mengakui pendapatannya meningkat antara 60 hingga 70 peratus berbanding kebiasaan.
Beliau berkata sebaik sahaja tarikh penamaan calon bagi kedua-dua PRK diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), permintaan tempahan inap desa miliknya di Bukit Garam di sini mula mencurah masuk.
"Sama seperti Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini, dua unit rumah inap desa kami terus menerima tempahan penuh. Malah, lapan unit kabin yang kami sediakan turut mendapat permintaan tinggi, terutamanya pada tarikh penting seperti hari penamaan calon dan pengundian.
"Hingga sekarang kami masih menerima panggilan daripada pelanggan yang mencari penginapan tetapi terpaksa ditolak dan meminta mereka mencari pengusaha lain kerana inap desa kami sudah tidak mampu menampung permintaan," katanya.
Menggabungkan unit rumah dan kabin, Sazati Homestay mampu menerima antara 30 hingga 40 pelanggan dalam satu-satu masa.
Beliau berkata situasi sama turut dirasai kira-kira 10 pengusaha inap desa lain di sekitar Bukit Garam yang menikmati kesan limpahan ekonomi sepanjang tempoh PRK berlangsung dan menjelaskan pada hari biasa, mereka hanya bergantung kepada tempahan pengembara yang singgah berehat atau penjawat awam yang menjalankan urusan rasmi.
Berkongsi pandangan sama, pengusaha Sumilau Homestay Bahrin Salleh mengakui inap desa miliknya yang mampu menampung hingga 30 pelanggan dalam satu-satu masa, mula dihujani tempahan seawal seminggu sebelum hari penamaan calon.
"Walaupun permintaan penginapan kekal tinggi dan melonjakkan pendapatan hingga 70 peratus, kehadiran pelanggan ke restoran kami agak perlahan berbanding ketika PRN lepas. Ia mungkin disebabkan jumlah parti yang bertanding tidak sebanyak pada PRN ," katanya.
Sementara itu, pekerja perkhidmatan Dobi Hayati Nor Aswan Anwar, 40, berkata berdasarkan pengalaman pada PRN sebelum ini, premis itu mencatatkan peningkatan jumlah pelanggan yang mendadak iaitu lebih 50 peratus.
Nor Aswan berkata meskipun belum menampakkan peningkatan pelanggan yang ketara, beliau yakin perkhidmatan dobi layan diri yang dibuka 24 jam itu akan menjadi tumpuan sepanjang kempen PRK hingga hari pengundian nanti.
PRK Parlimen Kinabatangan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mohd Kurniawan Naim Moktar yang mewakili Barisan Nasional (BN), Datuk Saddi Abdul Rahman (Warisan) dan Goldam Hamid (Bebas), manakala PRK DUN Lamag, pertandingan satu lawan satu berlaku antara Mohd Ismail Ayob (BN) dengan Mazliwati Abdul Malek (Warisan).
PRK berkenaan diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Seri Bung Moktar Radin, 66, pada 5 Dis tahun lepas.
SPR menetapkan tempoh berkempen 14 hari hingga 11.59 malam, 23 Jan, dengan hari pengundian ditetapkan pada 24 Jan dan pengundian awal, 20 Jan.
-- BERNAMA
