AM

PASANGAN KEMBAR TERUJA HARI PERTAMA PERSEKOLAHAN

12/01/2026 04:51 PM

KLUANG, 12 Jan (Bernama) -- Keterujaan jelas terpancar di wajah 153 murid tahun satu di Sekolah Kebangsaan Dato’ Onn Jaafar, Simpang Renggam dekat sini yang memulakan hari pertama sesi persekolahan 2026 hari ini, termasuk pasangan kembar seiras, Ahmad Akif Mohd Azwan dan Ahmad Afif.

Bapa pasangan kembar itu Mohd Azwan Kasim, 39, berkata sejak beberapa hari lepas lagi, kedua-dua anaknya itu sudah tidak sabar untuk ke sekolah.

Menurut beliau, Ahmad Akif dan Ahmad Afif cukup bersemangat hari ini sehinggakan bangun pagi tadi seawal kira-kira pukul 4.

“Saya berharap mereka rajin belajar dan mencapai cita-cita menjadi polis,” katanya ketika ditemui di sekolah berkenaan hari ini.

Terdahulu, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan (KPM) Datuk Dr Aminudin Hassim berkata sebanyak 615,120 pelajar sekolah rendah dan menengah memulakan sesi persekolahan termasuk 23,740 murid prasekolah, 55,406 murid tahun satu dan 47,237 pelajar tingkatan satu di Johor.

Sementara itu, di SEREMBAN perasaan yang sama turut dirasai pasangan kembar, Qaseh Sumayyah Mohd Nasrullah dan Qaseh Safiyyah yang teruja untuk memulakan hari pertama prasekolah di sini.

Ibu mereka, Shakila Khalid Ali, 34, berkata anak sulungnya yang masing-masing berusia enam tahun itu tidak menghadapi sebarang masalah untuk bangun awal, bersiap dan bersarapan di rumah sebelum ke prasekolah pagi ini di Sekolah Menengah Kebangsaan Seremban 3 bagi bertemu rakan-rakan baharu.

"Anak saya sangat teruja hendak ke sekolah, dari malam tadi mereka seronok mengemas beg sekolah bersama-sama.

"Saya harap mereka dapat sesuaikan diri, walaupun kemudian nampak macam nak menangis tetapi mungkin kerana hari pertama, baru hendak kenal dengan kawan dan suasana baharu,” katanya kepada Bernama.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan Khalidah Omar berkata sebanyak 8,059 murid prasekolah berdaftar di 241 sekolah di seluruh Negeri Sembilan.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan