MELAKA, 12 Jan (Bernama) -- Sebanyak 155,406 murid di 319 sekolah rendah dan menengah di Melaka menerima Bantuan Awal Persekolahan (BAP) berjumlah RM150 setiap seorang bermula hari ini melibatkan peruntukan berjumlah RM23.31 juta.
Pengarah Pendidikan Melaka Mahfudzah Mohamed Noor berkata jumlah itu melibatkan 91,536 murid di daerah Melaka Tengah, 37,796 murid di Alor Gajah dan 26,074 murid di Jasin.
“Semua sekolah di Melaka mula mengagihkan BAP secara berperingkat bermula hari ini dan proses itu perlu diselesaikan dalam tempoh 30 hari bagi memastikan bantuan wang tunai berkenaan dapat digunakan untuk membeli keperluan persekolahan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Lawatan Rasmi Hari Pertama Sesi Persekolahan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Penyampaian BAP 2026 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampung Gelam di sini hari ini.
Beliau berkata BAP merupakan inisiatif kerajaan bagi meringankan beban kewangan ibu bapa atau penjaga ketika permulaan sesi persekolahan baharu, melibatkan semua murid warganegara dari darjah satu hingga tingkatan enam tanpa mengira latar belakang.
“Inisiatif ini bertujuan memastikan semua murid dapat memulakan sesi persekolahan dengan kelengkapan yang mencukupi,” katanya.
Mahfudzah berkata inisiatif itu membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan akses pendidikan yang lebih inklusif dan menyeluruh kepada semua lapisan masyarakat.
Beliau berkata bantuan berkenaan diharap dapat meningkatkan motivasi murid untuk membina kecemerlangan serta menjadi insan berguna kepada agama, bangsa dan negara pada masa hadapan.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata 118 sekolah rendah dan menengah di Melaka diiktiraf sebagai Sekolah Inspirasi oleh Kementerian Pendidikan (KPM).
“Pada 2023, hanya sebuah sekolah di Melaka diiktiraf sebagai Sekolah Inspirasi, namun jumlah itu meningkat kepada 118 pada 2024 dan tiada Sekolah Fokus yang memerlukan tindakan segera direkodkan di negeri ini.
“Selebihnya adalah Sekolah Aspirasi dan kita berharap kesemua 319 sekolah di Melaka akan diiktiraf sebagai Sekolah Inspirasi dalam masa terdekat,” katanya.
Mahfudzah berkata Sekolah Inspirasi ialah sekolah cemerlang yang dinilai berdasarkan aspek kekuatan pengurusan, kemenjadian murid, pencapaian guru dan prestasi keseluruhan sekolah.
Beliau berkata peningkatan ketara jumlah Sekolah Inspirasi dalam tempoh singkat itu didorong pelbagai faktor, antaranya kerjasama erat antara Jabatan Pendidikan dan kerajaan negeri, selain sokongan pemegang taruh seperti ibu bapa, pengurusan sekolah, pejabat pendidikan daerah, badan bukan kerajaan dan komuniti.
-- BERNAMA
