DUNIA

ANWAR, SHEHBAZ SHARIF SUARAKAN KEBIMBANGAN TERHADAP KONFLIK TIMUR TENGAH

06/03/2026 12:42 AM

Oleh Shakir Husain

NEW DELHI, 5 Mac (Bernama) -- Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatnya dari Pakistan Shehbaz Sharif pada Khamis menyuarakan kebimbangan terhadap situasi yang semakin meruncing di Timur Tengah susulan serangan rejim Zionis Israel dan Amerika Syarikat (AS) ke atas Iran.

“Kami berkongsi kebimbangan yang mendalam terhadap situasi yang semakin meruncing susulan serangan rejim Zionis Israel ke atas Iran serta serangan seterusnya terhadap negara-negara Teluk.

“Saya menekankan kepentingan menghormati kedaulatan dan keutuhan wilayah semua negara serta keperluan mendesak untuk menahan diri, meredakan ketegangan dan diplomasi,” kata Perdana Menteri Pakistan itu dalam satu hantaran di platform X selepas perbualan telefon dengan Anwar.

Iran bertindak balas terhadap serangan AS-Israel itu dengan melancarkan peluru berpandu ke arah sasaran Israel serta aset ketenteraan AS di rantau berkenaan.

Keadaan itu turut mengganggu trafik udara dan perkapalan, dengan risiko yang semakin meningkat terhadap bekalan tenaga dan makanan.

Ketika konflik sedang memuncak di Timur Tengah, Pakistan juga terlibat dalam konfrontasi dengan pentadbiran sementara Taliban di Afghanistan.

“Kami bersetuju untuk terus berhubung rapat dan menyelaras usaha bagi memastikan keamanan dan kestabilan di rantau ini, dan saya turut memaklumkan beliau mengenai perkembangan terkini berkaitan Afghanistan serta usaha Pakistan memerangi keganasan,” kata Shehbaz.

Sementara itu, Anwar turut mengadakan perbualan telefon dengan Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan.

Dalam satu kenyataan, Kepresidenan Turkiye menyatakan bahawa kedua-dua pemimpin membincangkan hubungan dua hala Turkiye-Malaysia serta perkembangan serantau dan global.

“Dengan menyatakan bahawa hubungan Turkiye-Malaysia berkembang pada tahap yang sangat baik dalam semua bidang, Presiden Erdogan berkata usaha sedang diteruskan untuk memperkukuh lagi hubungan itu,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut menyatakan bahawa Turkiye sedang mengikuti rapat konflik yang tercetus di Iran dan kemudian merebak ke seluruh rantau berkenaan, sambil memberi amaran bahawa jika ia berterusan, seluruh rantau itu mungkin diheret ke dalam lebih banyak masalah.

-- BERNAMA



 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan