KUALA LUMPUR, 14 Jan (Bernama) -- Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata parti itu perlu keluar daripada kepompong lama dan segera menyesuaikan diri dengan kaedah politik baharu yang berteraskan teknologi terutama platform media sosial.
Beliau berkata perubahan itu harus dilakukan segera memandangkan UMNO perlu bersiap sedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) yang berbaki kira-kira 22 bulan.
Ahmad Zahid berkata keutamaan adalah untuk memperkasa penjelasan di media sosial bukan sahaja mengenai dasar parti tetapi juga mempertahankan UMNO daripada serangan seteru politik.
“Masalah kita sekarang... sudahlah tak menyerang, kalau diserang pun kita tak pertahankan... itu sebab kita ke laut.
"Jadi, kalau kita tidak menggunakan metodologi atau kaedah pendekatan baharu maka kita akan tumpas,” katanya ketika berucap merasmikan Simposium Politik Era Digital 2026 anjuran Penerangan UMNO Malaysia di sini hari ini.
Sebagai contoh, beliau berkata pemimpin politik dunia seperti Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, Perdana Menteri India Narenda Modi dan Presiden Indonesia Prabowo Subianto memanfaatkan platform media sosial terutama TikTok untuk meraih sokongan khususnya pengundi muda bagi memenangi pilihan raya.
Ahmad Zahid, yang juga Timbalan Perdana Menteri, berkata kelemahan dalam penguasaan di media sosial mengakibatkan pelbagai inisiatif yang dilaksanakan oleh Kerajaan MADANI sejak mentadbir Putrajaya tidak begitu popular dalam kalangan rakyat.
Beliau juga berkata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar pada Sesi Permukiman Jemaah Menteri yang lepas memaklumkan sejak Kerajaan MADANI ditubuhkan, terdapat 733 inisiatif baharu dihidangkan kepada rakyat.
"Namun siapa yang bercakap secara positif tentang Perdana Menteri atau pencapaian kerajaan... tidak banyak.
“Sebab apa... sebab yang menularkannya itu sangat kurang... kumpulan anti-establishment makin bertambah... sebab apa... sebab pembangkang lebih bijak dalam mengatasi apa jua establishment yang dilakukan oleh kerajaan,” katanya.
-- BERNAMA
