KUALA LUMPUR, 14 Jan (Bernama) -- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya menurunkan kos operasi kepada RM2.13 bagi setiap kutipan hasil yang bernilai RM100 pada 2025 kata Ketua Pengarahnya Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin.
Beliau berkata pengurangan kos itu membuktikan kecekapan jabatan dalam mengurus peruntukan kerajaan dan menjana pulangan hasil yang lebih baik daripada pelaburan yang dibuat.
Jumlah kutipan hasil bagi agensi di bawah Kementerian Kewangan itu adalah sebanyak RM76.18 bilion manakala jumlah perbelanjaan pula ialah RM1.62 bilion.
“Kos operasi bagi setiap RM100 berkurangan kepada RM2.13 pada 2025 berbanding tahun 2024 iaitu pada RM2.26,” katanya ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama TV sempena Hari Kastam Sedunia ke-44, hari ini.
Beliau berkata penurunan kos itu mencerminkan peningkatan kecekapan dan pulangan hasil yang lebih tinggi daripada pelaburan kerajaan terhadap jabatan berkenaan.
Bagi 2025, JKDM telah merekodkan kutipan hasil berjumlah RM76.18 bilion iaitu meningkat sebanyak RM10.61 bilion berbanding RM65.57 bilion pada 2024.
--BERNAMA
