KOTA KINABALU, 14 Mac (Bernama) -- Permohonan mengantung pelaksanaan perintah mahkamah berkenaan tuntutan 40 peratus hasil Sabah tidak menjejaskan hak pemberian khas itu seperti yang termaktub di bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud berkata permohonan Kerajaan Persekutuan itu bertujuan memberikan ruang sewajarnya kepada kedua-dua pihak untuk meneruskan rundingan dan penelitian terperinci berkaitan pengiraan hasil bersih Persekutuan.
Beliau berkata sejak Nov 2025, Kerajaan Persekutuan telah berkongsi data hasil bersih yang diperoleh dari Sabah bagi tempoh 2007 hingga 2025 menerusi siri mesyuarat Jawatankuasa Rundingan di peringkat pegawai.
“Usaha sedang dijalankan untuk melengkapkan data bagi tempoh terdahulu khususnya era The Lost Years, yang sebahagian besarnya direkodkan secara manual dan memerlukan penelitian lanjut,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Pada 17 Okt 2025, Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan Kerajaan Persekutuan untuk mengadakan semakan bersama Kerajaan Negeri Sabah dalam tempoh 90 hari, dan mencapai persetujuan dalam tempoh 180 hari berhubung hak pemberian khas 40 peratus negeri itu bagi tempoh 1974 hingga 2021.
Mustapha berkata tempoh 180 hari berkaitan pelaksanaan perintah mahkamah itu dijangka tamat pada 15 April 2026.
"Tanpa penggantungan tersebut, kedua-dua pihak berdepan risiko prosiding pengkomitan (menghina mahkamah) walaupun proses rayuan masih belum didengar," katanya sambil menambah permohonan itu dijadual didengar di Mahkamah Rayuan pada 31 Mac ini.
Mustapha turut menegaskan pendirian Kerajaan Negeri Sabah dan Persatuan Peguam Sabah (SLS) yang membantah permohonan itu harus dihormati sebagai proses semak dan imbang.
-- BERNAMA
