KUALA LUMPUR, 16 Jan (Bernama) -- Suasana tengah hari di Restoran Salai-Salai, Sri Rampai, bertukar meriah apabila Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim singgah untuk makan tengah hari bersama orang ramai sebelum menunaikan solat Jumaat.
Perdana Menteri meluangkan masa bertegur sapa dan bersalaman dengan pelanggan, yang jelas teruja dapat bertemu pemimpin negara dalam suasana mesra dan santai.
Kehadiran beliau turut menarik perhatian pengunjung yang tidak mahu melepaskan peluang merakam gambar kenangan.
Anwar turut menceriakan pemain cilik pasukan bola sepak TFFC, apabila bergambar dengan mereka dan menandatangani jersi.
Selepas menjamu selera, Anwar bertolak ke Masjid Usamah Bin Zaid, Wangsa Maju untuk menunaikan solat Jumaat.
-- BERNAMA
