KUANTAN, 17 Jan (Bernama) -- Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) memperuntukkan RM481,232 untuk bantuan pembiayaan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada 40 pelajar asnaf.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP Dr Asmadi Abdul Rahman berkata pemberian yang memasuki tahun ketiga diberikan kepada anak asnaf lepasan diploma yang memperoleh keputusan cemerlang.
Beliau berkata untuk kali ini, 25 pelajar yang mendapat Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.0-3.49 menerima bantuan pembiayaan sebanyak 50 peratus manakala 13 orang yang memperoleh PNGK 3.5-3.74 diberikan bantuan 75 peratus daripada jumlah pinjaman.
"Bagi dua individu yang mendapat PNGK 3.75 ke atas, kita berikan bantuan 100 peratus jumlah bayaran balik PTPTN mereka," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Bantuan Pembiayaan Anak Asnaf Cemerlang 2025 di sini hari ini.
Asmadi berkata inisiatif berkenaan bagi membolehkan pelajar terbabit bebas daripada hutang dan dapat membantu keluarga masing-masing selepas tamat pengajian.
Sementara itu, Mohamad Armien Shahari, 22, yang berasal dari Rompin berkata sumbangan berkenaan membolehkannya menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda Pengajian al-Quran dan Sunnah di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) tanpa rasa terbeban.
Anak kepada seorang petani dan suri rumah yang menerima bantuan pembiayaan PTPTN sehingga lebih RM20,500 itu turut bersyukur dengan sumbangan yang diterima daripada MUIP.
"Saya pernah terfikir untuk terus bekerja selepas tamat diploma dalam bidang yang sama di Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) supaya dapat membayar semula PTPTN tetapi dengan bantuan ini saya berasa lega serta dapat belajar dengan tenang," kata anak kedua daripada enam beradik itu.
Bagi Nur Assurau Hashim, 24, bantuan MUIP itu meringankan bebannya yang kini menampung perbelanjaan keluarga dengan bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat swasta setelah tamat belajar di Politeknik Mersing, Johor.
"Pendapatan diterima untuk membantu perbelanjaan keluarga termasuk membayar sewa rumah kerana bapa menghidap strok dan ibu tidak bekerja, malah saya juga sudah mula bayar balik PTPTN sejak tahun lepas.
"Sumbangan MUIP lebih RM13,000 untuk baki pinjaman PTPTN saya dan ini rezeki tidak disangka yang sangat menggembirakan kerana saya boleh berbelanja lebih untuk keluarga," katanya.
-- BERNAMA
