BINTULU, 17 Jan (Bernama) -- Hanya satu pusat pemindahan sementara (PPS) banjir di Sarawak masih beroperasi setakat pukul 4 petang ini selepas dua lagi PPS ditutup secara berperingkat sejak tengah hari tadi.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak memaklumkan, PPS Balai Raya Sebauh kini menjadi satu-satunya pusat yang masih aktif, menempatkan seramai 24 mangsa daripada 15 keluarga.
Menurut kenyataan itu, PPS Dewan Suarah Bintulu yang menempatkan 121 mangsa daripada 32 keluarga ditutup pada pukul 1.30 tengah hari, manakala PPS Dewan Sri Kemena, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sebauh yang menempatkan 64 mangsa daripada 18 keluarga ditutup pada 12 tengah hari.
Banjir di Sarawak dilaporkan bermula sejak 31 Dis lalu susulan hujan lebat berterusan, menyebabkan beberapa kawasan di sekitar bandar raya Kuching dinaiki air.
Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menerusi portal Public InfoBanjir melaporkan paras air di dua stesen, iaitu Long Teru di Miri dan Nanga Lemai B, masih melepasi paras bahaya, manakala stesen Stapang B di Sibu berada pada paras amaran, namun kesemuanya menunjukkan trend menurun.
Paras air di lapan sungai lain pula berada pada paras waspada dan turut merekodkan trend menurun.
-- BERNAMA
