MELAKA, 20 Jan (Bernama) -- Tempoh penukaran alamat pada kad pengenalan secara percuma di bawah inisiatif Kampung Digital yang sepatutnya tamat pada 31 Dis lepas, diteruskan hingga akhir tahun ini.
Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Melaka Mohd Dzulkarnain Baharuddin berkata hingga 31 Dis lepas, hanya 4,035 penduduk kampung telah melakukan proses tersebut melibatkan penggantian kad pengenalan di pejabat pendaftaran cawangan atau daerah berhampiran.
"Sebelum ini, tempoh penukaran alamat pada kad pengenalan secara percuma diberikan bermula 1 Ogos hingga 31 Dis tahun lepas tetapi tempoh berkenaan dilanjutkan hingga akhir tahun ini memandangkan jumlah permohonan masih rendah.
"Kita jangkakan kira-kira 100,000 penduduk daripada ratusan kampung di Melaka terlibat dalam inisiatif itu dan mereka perlu melakukan proses penukaran alamat digital bagi memudahkan pelbagai urusan termasuk jabatan kerajaan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bulanan dan Amanat Pengarah JPN Melaka sempena Tahun Baharu 2026 di sini hari ini.
Beliau berkata bagi proses penukaran alamat baharu, penduduk perlu membawa salinan surat tukar alamat Kampung Digital yang dikeluarkan oleh Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) di kawasan masing-masing.
Mohd Dzulkarnain berkata bagi memudahkan urusan berkenaan khususnya membabitkan warga emas dan di kawasan pedalaman, JPN Melaka juga menggerakkan perkhidmatan van Program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar) dengan kerjasama PDT.
Kampung Digital adalah projek rintis dilaksanakan Kerajaan Negeri Melaka bagi memudahkan proses pengesanan alamat dalam usaha memberi perkhidmatan lebih berkesan kepada rakyat di peringkat akar umbi.
Menerusi inisiatif itu, 657 kampung akan melalui proses transformasi digital apabila kediaman mereka dilengkapkan dengan alamat baharu serta diberikan kod respons pantas (QR) bagi memudahkan pengesanan alamat.
Dalam perkembangan lain, Mohd Dzulkarnain berkata JPN Melaka menerima peruntukan berjumlah RM10,000 daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) Melaka bagi melaksanakan Program Mekar Ihsan pada tahun ini.
Beliau berkata menerusi program itu, golongan sasar seperti warga emas, orang kurang upaya, pesakit terlantar, pesakit mental atau mereka yang tiada kemampuan dibantu dalam mendapatkan perkhidmatan JPN.
"Menerusi peruntukan itu juga kita akan menyalurkan bantuan makanan kepada golongan sasar yang memerlukan di bawah program tersebut," katanya.
-- BERNAMA
